Oleh: Aida Najwa Zahidan & Cik Che Noor Hawa Che Ismail
Tanjong Malim – Pusat Kaunseling UPSI telah menjayakan satu slot beramah mesra bersama mahasiswa ambilan baharu bersempena dengan minggu orientasi pelajar baharu ambilan diploma UPSI yang telah diadakan pada 4 Januari yang lalu.
Seramai 37 orang mahasiswa diploma ambil baharu telah menjalani slot yang dikendalikan selama dua jam oleh Che Noor Hawa Che Ismail yang lebih berfokuskan kepada Ujian Saringan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa baharu menggunakan alat ukur DASS21 secara bersemuka.
Menerusi slot yang dikendalikan oleh Pusat Kaunseling UPSI ini, mahasiswa UPSI diberi pendedahan awal tentang bahaya akan masalah mental sekiranya tidak cakna terhadap kesihatan mental mereka sendiri. Selain itu, mahasiswa UPSI turut diberi pendedahan bagaimana untuk mengenal pasti, mengurus, menghadapi dan memantau serta mengekalkan kesihatan mental untuk berada pada tahap yang sihat.

Pelbagai cabaran baharu yang harus dilalui oleh setiap mahasiswa yang baharu sahaja melangkah ke alam universiti. Oleh itu, mahasiswa perlu lebih bersiap sedia bukan sahaja dari sudut fizikal, malah dari sudut mental agar mahasiswa dapat mengharunginya dengan bijak dan kritis. Melalui slot yang diadakan ini juga, mahasiswa turut memberi maklum balas yang positif terutama isu berkaitan kesihatan mental yang dilihat semakin meningkat dalam kalangan pelajar universiti.
Jenis perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Kaunseling juga telah didedahkan kepada mahasiswa pada slot tersebut. Rata-rata mahasiswa takut untuk mendapatkan perkhidmatan di pusat kaunseling kerana stigma masyarakat, namun, di Pusat Kaunseling UPSI ini amat mengutamakan dan memberi jaminan terhadap pengalaman yang akan dilalui oleh mahasiswa yang ingin mendapatkan bantuan. Khidmat latihan, menguar-uarkan aktiviti kelab serta kemudahan yang disediakan kepada mahasiswa sepanjang bergelar mahasiswa UPSI turut disediakan oleh Pusat Kaunseling UPSI.
Mahasiswa ambilan diploma baharu berpeluang untuk berinteraksi secara terus dengan Pusat Kaunseling serta mendapat informasi baharu berkaitan kepentingan menjaga kesihatan mental melalui penganjuran aktiviti seperti ini. Mahasiswa juga turut didedahkan mengenai cara untuk mendapatkan bantuan segera yang disediakan oleh Pusat Kaunseling. Penganjuran aktiviti ini juga membolehkan Pusat Kaunseling mengumpul data berkaitan kesihatan mental mahasiswa secara terus tanpa perlu melalui pihak tengah.
