Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa (Pengarah NCDRC) dan Teh Wai Siew, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Perancangan & Dasar Pemakanan Sektor Survelan Pemakanan, Bahagian Pemakanan, KKM menandatangani dokumen spesifikasi keperluan sistem (SRS)

Oleh: Eimiza Faisha Azmi

Petaling Jaya: Dalam satu langkah maju menuju pemantauan kanak-kanak yang lebih efisien, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), dan Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan kerjasama pembangunan Modul Status Pemakanan Kanak-kanak di Malaysia.

Kolaborasi yang berlangsung pada 21 Januari ini menyaksikan kerjasama erat antara kerajaan dan institusi pendidikan untuk memanfaatkan Sistem Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) dalam menangani masalah malpemakanan kanak-kanak.

NCDRC dan KKM telah menyusun langkah-langkah terperinci dengan mengenalpasti keperluan pembangunan sistem bagi membangunkan Modul Status Pemakanan ini. Modul yang dibangunkan ini akan menjadi teras pemantauan status pemakanan kanak-kanak termasuk Indek Jisim Tubuh (BMI), Berat untuk Umur (Wt:Age), dan Tinggi untuk Umur(Ht:Age) dengan memanfaatkan data berat serta tinggi yang dikemaskini oleh pihak TASKA. NCDRC dan KKM turut mengambil inisiatif dalam merancang fungsi dan ciri-ciri modul yang akan memastikan pemantauan intervensi yang lebih holistik dan efektif terhadap masalah malpemakanan kanak-kanak.

Perbincangan spesifikasi modul antara KKM dan NCDRC

Kerjasama ini juga menitikberatkan reka bentuk antaramuka modul, memastikan penggunaan yang intuitif dan mesra pengguna bagi Pegawai Sains Pemakanan di Pusat Kesihatan Daerah. Ini membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemantauan serta intervensi awal terhadap tumbesaran kanak-kanak.

Pengarah NCDRC, UPSI, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa berkata, NCDRC dan KKM turut merancang pelbagai cara pengujian bagi memastikan Modul Status Pemakanan yang disediakan  berfungsi dengan baik dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan. Langkah ini menjamin keberkesanan dan ketepatan modul sebelum diintegrasikan dalam Sistem NCDC.

“Inisiatif kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan KKM dan NCDRC dalam menangani masalah malpemakanan kanak-kanak, tetapi juga menjadi satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih cerah. Modul Status Pemakanan yang sedang dibangunkan dijangka menjadi pemangkin kepada sistem pemantauan kanak-kanak yang canggih, membantu KKM dalam menentukan program intervensi yang lebih tepat,” katanya.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen padu antara kedua-dua agensi terutamanya dalam bidang kesihatan dan pendidikan ke arah pemantauan kanak-kanak yang lebih berkesan dan menyeluruh. Dengan penggunaan Modul Status Pemakanan, kanak-kanak di Malaysia memperoleh pemantauan berkualiti tinggi untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan yang optimum demi masa depan kanak-kanak yang lebih sejahtera.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)