Oleh: Nurul Ainie Abdullah
Tanjong Malim: Pembuka tirai bagi tahun 2024, Pusat Pembangunan Akademik telah mengadakan Bengkel Program Ijazah Dual (Dual Degree) di Dewan Titiwangsa, Scholar Suite’s UPSI pada 11 Januari yang lalu. Bengkel ini merujuk kepada program pengajian yang melibatkan kerjasama dua atau lebih institusi penganugerahan ijazah (Degree Granting Institutions) yang standing (equal standing) dalam pembangunan dan penawaran program dan membawa kepada penganugerahan satu ijazah dengan satu skrol oleh institusi yang terlibat.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi, penyelidikan bersepadu dan sokongan yang komprehensif, serta selaras dengan keperluan pendidikan semasa. UPSI juga sentiasa berusaha dan bersedia untuk mengembangkan persekitaran pendidikan dan penyelidikan agar dapat bersaing dengan institusi pendidikan di peringkat negara dan antarabangsa.
Bagi mencapai matlamat yang tersebut di atas, Pusat Pembangunan Akademik menyahut hasrat pihak Pengurusan Tertinggi Universiti untuk mengadakan sesi perkongsian berkaitan Program Dual Ijazah (Dual Degree) dengan menjemput Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik) ️Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr Kamal Yusoh yang berpengalaman untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan bersama-sama dengan pihak Pusat Tanggungjawab dan Fakulti yang akan membangunkan dan menawarkan Program Dual Ijazah (Dual Degree).
“Kerjasama strategik antara UPSI dengan institusi dalam dan luar negara dapat meningkatkan ‘visibility’ UPSI dan mendapat pengiktirafan di peringkat negara dan antarabangsa. Di samping itu, ia juga akan meningkatkan hubungan erat antara UPSI dengan universiti di dalam dan luar negara serta menjadi tempat tumpuan para ilmuan menimba ilmu pengetahuan,” kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Rahim Razali dalam sesi pembukaan bengkel.
Seramai 65 orang pensyarah UPSI dari pelbagai Pusat Tanggungjawab dan fakulti, terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Ketua Jabatan yang terlibat untuk menguruskan Dual Degree telah terlibat dalam menjayakan pelaksanaan bengkel ini.