Oleh: Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis (FTV)

Tanjong Malim: Pameran fesyen bertemakan ‘Timeless Royal Sovereign & Multiverse‘ yang berlangsung dari 24 Januari hingga 23 Februari bertempat di Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya mengangkat martabat dunia fesyen tempatan ke peringkat antarabangsa. Pameran dengan kerjasama Universitas Negeri Malang, Indonesia (UM) ini menggabungkan pakaian wanita dan aksesori fesyen daripada pelajar-pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI dalam bidang Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga dan Pendidikan Fesyen dari UM telah berjaya menarik perhatian peserta pameran dan juga para pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pameran fesyen ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap fabrik tempatan sekali gus menghargai keindahan, keunikan serta sejarah warisannya dan budaya di Malaysia dan Indonesia. Selain itu, pameran sebegini mampu mendorong ramai pereka muda ke pentas fesyen antarabangsa dan melahirkan masyarakat yang’ celik’ fesyen.

Pameran yang memfokuskan kebaya pelbagai negeri di Malaysia, pakaian DiRaja Cina zaman dahulu, manakala “Multiverse” menggambarkan rekaan keanekaragaman atau keberagaman, idea serta gagasan yang berasal dari kekayaan seni, tradisi dan budaya bangsa Indonesia dengan sentuhan moden.

Rekaan pakaian adalah inspirasi dan diinovasikan dengan menampilkan kebaya, kontemporari, moden serta aksesori fesyen yang telah dibimbing oleh pensyarah kursus dari FTV iaitu Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis (Seni Reka Fesyen), Dr. Nor Asimah Zakaria (Pakaian Wanita), Zaleha Arshad (Pakaian Perempuan Lanjutan) dan Annisau Nafiah dari UM (Pameran Busana). Penghasilan pakaian telah dibantu oleh pegawai pereka iaitu Norizan Mohd Nor dan Senijulita Johari.

Pameran kali ini mengetengahkan lebih kurang 118 rekaan pakaian dan aksesori yang berinspirasikan kebaya daripada pelbagai negeri di Malaysia dan pakaian bangsa Cina dengan harapan agar penghargaan terhadap busana ikonik ini boleh memberi inspirasi kepada generasi sekarang untuk memahami bagaimana ‘nilai-nilai silam boleh disesuaikan sehingga hari ini.’ 

Pameran telah dirasmikan oleh Dekan FTV, Dr. Mohd Azlan Mohammad Husain. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Profesor Ts. Dr. Suriani Abu Bakar, Dr. Rr. Poppy Puspitasari (Vice Dean-Research, Innovation & Public Relation) dari Universitas Negeri Malang diiringi oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Profesor Madya Dr. Zaliza Hanapi, Timbalan Dekan Penyelididkan dan Inovasi Dr. Norhanizan Usaizan dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr. Suriani Mohammed serta Ketua Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer Dr Zahidah Ab. Latif. Majlis menandatangani ‘Implementation Arrangement’ juga telah dilaksanakan di antara Fakulti Kejuruteraan, UM dengan Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI bagi program ini.

“Pameran fesyen ini merupakan platform bagi pelajar-pelajar untuk mengekspresi pakaian inovatif, unik dan menawan yang memiliki elemen tersirat untuk diamati serta dinilai oleh para pengunjung. Saya berharap, pameran ini akan terus melestarikan dunia pendidikan khusus dalam seni reka fesyen, industri fesyen dan perdagangan fesyen di Malaysia mahupun di Indonesia. Semasa pameran ini, pengunjung tempatan mahupun antarabangsa berpeluang melihat ciri-ciri teknikal dan aspek perincian yang diselitkan pada setiap rekaan yang dihasilkan,” jelas Dr. Azlan semasa ucapan perasmiannya.

Beliau juga menambah “Pameran sebegini boleh memberi penghargaan, penghormatan dan galakan kepada para pelajar dalam seni reka fesyen untuk terus berkarya. Paling penting, pameran ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengunjung mengenai seni fesyen tempatan.

Bagi mengekalkan pakaian tradisional supaya relevan hari ini boleh membantu Malaysia dan Indonesia membuat ‘perkembangan unik’ dalam soal pakaian dan fesyen, serta dalam mengekalkan nilai-nilai yang terkait dengan wanita moden dan warisan. Kebaya adalah pakaian yang berakar pada tradisi fesyen dan sejarah dunia Melayu-Indonesia. Biasanya dipakai oleh wanita dari pelbagai masyarakat dan latar belakang dari wilayah ini. Selain itu, pameran juga menonjolkan keindahan, keaslian serta kehalusan pelbagai seni tekstil iaitu anyaman yang mengetengahkan pelbagai jenis ikatan, jenis anyaman dan jenis yarn dan fibre yang digunakan dalam rekaan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)