Oleh: Nur Athira Batrisyia Zakaria

Tanjung Malim ­ Sustainable Development Goals (SDG) merupakan matlamat global yang diaplikasikan oleh semua Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu termasuk Malaysia yang bertujuan untuk memastikan keamanan dan kemakmuran dunia menjelang tahun 2030.

Menyahut matlamat global ini, Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan program University Social Responsibility (USR): Aqua Ranger di bawah SDG 14: Life below Water sebagai satu langkah memupuk kesedaran mahasiswa serta komuniti mengenai kebersihan dan biodiversiti sungai pada 20 Januari yang lalu.

Program yang bertemakan Plastic and Litter Awareness: Technology for Environmental Unity ini dijalankan di Sungai Berof, Tanjong Malim, Perak dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak Darul Ridzuan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), dan Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Sesi ujian air yang disampel dari Sungai Berof dilaksanakan di makmal sains Fakulti Sains dan Matematik UPSI bersama Dr. Adibah Abu Bakar, penyelaras Pusat STEM Universiti Pendidikan Sultan Idris. Peserta juga didedahkan dengan kaedah menentukan kualiti air sungai melalui ujian pH. Peserta juga diberi peluang menggunakan thermal cycler untuk melihat spesies ikan di sungai terbabit melalui kaedah analisis eDNA di dalam air Sungai Berof. Peserta telah menghasilkan video kreatif di laman Instagram @uyeis.official bagi berkongsi hasil dapatan mereka bersama komuniti bagi menyebarkan kesedaran terhadap kebersihan sungai.

Menurut Saffuan Bohori, Penolong Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak, pihak mereka sangat menghargai inisiatif mahasiswa UPSI yang turut bersama-sama dalam aktiviti pembersihan sungai dan sekaligus memberi kesedaran dalam menangani pencemaran plastik di dalam sungai.

“Program sebegini merupakan satu inisiatif yang sangat baik yang dijalankan oleh mahasiswa UPSI. Pihak kami sangat menghargai peranan yang dijalankan oleh peserta program dalam membantu pihak JPS membersihkan kawasan sungai dan menjadikan ianya sebuah program kesedaran kepada mahasiswa dan masyarakat setempat” ujar beliau.

Kesungguhan yang dipamerkan oleh setiap peserta tidak hanya memastikan pencapaian objektif program, tetapi menjiwai semangat kumpulan dan perpaduan tanpa mengira kaum dan agama dalam mencapai objektif program ini. Pembersihan sungai ini membuka peluang untuk para peserta mengetahui akan kepentingan-kepentingan menjaga alam sekitar. Keterlibatan jabatan pengairan dan saliran negeri perak ini mampu meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar seperti yang ditekankan dalam inovasi sosial, program Semarak Siswa Madani.

Pengetua KHAR, Dr. Haji Che Anuar berkata, Program Aqua Ranger mencapai objektif yang diinginkan dalam mewujudkan mahasiswa yang lestari dan prihatin terhadap kesan pencemaran sungai dan ini dapat memberi contoh tauladan yang baik terhadap komuniti setempat.

Melalui program ini, dapat dilihat bahawa penjagaan alam sekitar amat penting dalam memastikan kelestarian alam. Kejayaan program ini bukan hanya terletak pada pembersihan sungai semata-mata, juga dalam menyemai kesedaran dan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Program ini merupakan salah satu usaha mahasiswa UPSI dalam memastikan kelestarian alam semula jadi terjaga dan memberi impak yang positif terhadap masyarakat setempat melalui aktiviti yang dijalankan. Pemeliharaan sungai ini merupakan satu langkah progresif ke arah mengembalikan kelestarian ekosistem.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)