Oleh: Nur Athira Batrisyia Zakaria

Tanjong Malim: Merentas sempadan matlamat Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), penganjuran program Semarak Siswa Madani: UPSI Youth Eco-Educator Innovation Summit (UYEIS) 2024 berjaya menarik minat 100 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan belia antarabangsa daripada Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Indonesia serta University of Education Winneba, Ghana.

Program bertaraf antarabangsa anjuran Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) UPSI yang bertemakan Plastic and Litter Awareness: Technology for Environmental Unity ini melibatkan kerjasama daripada FGV Holdings Berhad selaku penaja utama, Kementerian Perpaduan Negara, All-Party Parliamentary Group Malaysia – Sustainable Development Goals (APPGM-SDG), World Wide Fund Malaysia (WWF), Pusat STEM UPSI,  Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC),  Pusat Mobiliti dan Antarabangsa (IMC) dan Sekretariat Rukun Negara.

Program ini merupakan program alam sekitar terbesar anjuran mahasiswa UPSI yang dijangka mampu memacu kedudukan UI-Greenmetric UPSI ke tahap lebih tinggi melalui kesepaduan mahasiswa dalam menyahut cabaran Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI untuk merealisasikan matlamat ekosistem pengajian tinggi yang lestari sejajar dengan Pelan Pembangunan Mampan SDG dan hasrat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk mencapai tahun sifar beg plastik pada 2025.

Peserta diberi peluang untuk menyertai slot perkongsian daripada Fakulti Sains Kaji Hayat Universiti Sains Malaysia, Pusat Kelestarian Universiti Malaya, All-Party Parliamentary Group-Sustainable Development Goals dan World Wildlife Fund Malaysia yang sangat berpengalaman dalam bidang teknologi dan alam sekitar. Menurut Profesor Dr. K Sudesh Kumar dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam slot pertama, Tech for a Clean Tomorrow: Combating Plastic, hasil inovasi beliau yang melibatkan bio-plastik yang boleh terbiodegradasikan daripada minyak terpakai mampu mengubah landskap penggunaan plastik dalam kalangan rakyat Malaysia ke arah yang lebih mesra alam. Memetik pula kata-kata daripada AAPGM, masyarakat dapat menerapkan nilai kecintaan terhadap alam dan menyetempatkan Pelan Pembangunan Mampan dalam program-program komuniti. UMSDC mengetengahkan keterlibatan mahasiswa dalam usaha menjadikan kampus yang lestari.

Menurut Abbas Ali Iftikhar Hussain, pengarah program UPSI Youth Eco-Educator Innovation Summit (UYEIS) 2024 “program ini memupuk perpaduan antara mahasiswa, mendidik mahasiswa berfikir secara kritis dan inovatif serta mewujudkan sinergi dalam kalangan mahasiswa sebagai penyumbang kepada masyarakat melalui pendidikan tentang pencemaran alam sekitar”.

Akhir sekali, pencemaran plastik memberikan kesan yang bahaya terhadap hidupan marin melalui pencemaran mikroplastik yang tidak disedari oleh masyarakat. Keterlibatan rakan strategik dalam pelbagai perspektif telah memperluaskan ilmu pengetahuan pelajar seperti yang ditekankan dalam inovasi sosial, program semarak siswa madani. Lebih menarik lagi, pemenang-pemenang bagi resolusi idea terbaik berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM1000.00 sebagai dana bantu mula bagi pelaksanaan kajian rintis untuk pelaksanaan idea-idea inovatif mereka yang telah dinilai berdasarkan kepada programme management standards (PPMS) oleh World Wildlife Fund (WWF).

Sehubungan itu, menurut Kamala Ernest selaku Pegawai Pengurusan Program United Nations Environment Programme yang turut menyertai program secara dalam talian dari Bangkok menyatakan bahawa UPSI Youth Eco-Educator Innovation Summit bukan sekadar program, tetapi merupakan sebahagian daripada gerakan progresif bakal-bakal guru yang dapat membimbing masyarakat global ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Program ini menghimpunkan mahasiswa dan masyarakat melalui aktiviti mencari penyelesaian kepada isu pencemaran, memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang penggunaan teknologi sebagai persediaan menghadapi ledakan teknologi seiring dengan inovasi sosial Student 4 society (S4S) melalui program Semarak Siswa Madani serta melibatkan belia dalam mencapai matlamat pembangunan mampan yang disasarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu”, kata Profesor Madya Dr. Mohd. Nizam Nasrifan, Pengerusi Majlis Pengetua, Kolej-kolej Kediaman UPSI selaku perasmi program.

Pelaksanaan program ini berjaya dilaksanakan selari dengan harapan Pengetua KHAR, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah iaitu meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kebersihan ekosistem sekitar di samping memupuk sifat perpaduan dalam kalangan mahasiswa selain dapat mengukuhkan pengetahuan tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Semangat kekeluargaan yang diterapkan kepada penghuni Kolej Harun Aminurrashid merupakan tunjang utama di mana kerjasama dan dorongan antara mahasiswa adalah kunci kejayaan sesuatu program.

Penasihat program, Nurul Najwa Mohamad menyatakan bahawa UPSI sentiasa terbuka dan menyambut baik program berkonsepkan perbincangan resolusi idea berkenaan kesedaran alam sekitar dalam memupuk perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat setempat.

“Pihak UPSI sangat mengalu-alukan kolaborasi bersama badan kerajaan dan NGO dalam program pembangunan pelajar seperti ini. Saya berharap semua peserta mendapat input yang bermanfaat dalam perbincangan resolusi yang diadakan dan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang didapati daripada program ini dalam menyampaikan kesedaran kepada masyarakat.”

Tuntasnya, sinergi antara kelestarian alam sekitar dan pembangunan inovatif dapat menjadi landasan bagi pencapaian konsep Malaysia Madani. Dengan memanfaatkan kekayaan alam negara secara lestari dan menggalakkan inovasi dalam penggunaan sumber daya alam, Malaysia dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang berkelanjutan sambil memelihara keindahan alam dan kesejahteraan masyarakat. Melalui program ini, diharapkan semua peserta yang terlibat terutama mahasiswa UPSI mendapat pendedahan dan pengetahuan baru akan kelestarian alam sekitar di samping mengeratkan perpaduan antara peserta terutamanya mahasiswa.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)