Oleh: Siti Nur Husna Azlan
UPSI, Tanjong Malim – Seramai 30 orang mahasiswa Universitas Bina Darma dan Universitas Pendidikan Indonesia menyertai Ekspedisi Intektual: Merentas Batas Budaya Malaysia X Indonesia pada 16 Januari di sekitar Kampus Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ekspedisi ilmu yang berbentuk sesi perkongsian pandangan, idea dan pendapat berkaitan pengurusan organisasi serta keunikan budaya dan universiti masing-masing ini merupakan satu inisiatif memperkenalkan UPSI kepada negara luar.
“Jauh perjalanan, luas pemandangan.” Mahasiswa daripada Indonesia bukan sahaja berpeluang mendalami ilmu baharu di Malaysia khususnya UPSI, malah mereka juga berpeluang mengelilingi UPSI sambil melawat tempat-tempat bersejarah yang wujud sejak tahun 1922 lagi seperti Perpustakaan Tuanku Bainun, Muzium Pendidikan Nasional, Dewan SITC, Pusat Sukan UPSI dan sebagainya.
Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan berkata, “Program Ekspedisi Intelektual: Merentas Batas Budaya yang dijalan kan ini memberi 1001 manfaat kepada kedua pihak kerana wujudnya sesi perkongsian dua hala. Melalui program ini, ianya dapat meluaskan horizon pemikiran dari segi konteks kepimpinan, pengurusan organisasi dan sebagainya.”
“Apa yang lebih membanggakan, program ini telah membuktikan bahawa KUO merupakan sebuah kolej yang gemilang dan terbilang,” tambahnya lagi.
“Indonesia dan Malaysia adalah negara serumpun dimana kedua – dua buah negara ini kaya dengan pelbagai keunikannya tersendiri termasuklah dari aspek pengurusan organisasi. Saya amat berbangga kerana program ini telah menjadi salah satu medium perkongsian ilmu serta mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa UPSI dan mahasiswa Indonesia”. Itulah ayat yang ditekankan oleh Pengarah Program Ekspedisi Intelektual: Merentas Batas Budaya, Nur Syahidah Talip merangkap Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar.
Ekspedisi ilmu yang dijalankan ini merupakan satu inisiatif silang budaya yang harus menjadi tradisi agar dapat mencapai visi negara sebagai negara majmuk yang harmoni, bersatu, dan sejahtera. Program ini juga sejajar dengan ajaran Islam yang menggalakkan kita saling mengenal dan bermuamalah dengan baik antara sesama manusia.