Oleh: Nur Fatin Najwa Muhamad Nur Efendi
Tanjong Malim: Persatuan Belia Harmoni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui kerjasama dengan Persatuan Sahabat Komuniti (PESKO) UPSI, Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) UPSI, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Humanitarian Care Malaysia (MYCARE) telah mengadakan Program Jalinan Komuniti Desa (JAKSA) bertempat di Kampung Orang Asli Ulu Jelintoh, Gopeng, Perak pada 28 Januari lalu. Majoriti penduduk di kampung tersebut menganut agama Kristian dan sebahagiannya tidak mempunyai agama. Pendedahan berkaitan dengan pendidikan sepanjang hayat dilihat amatlah penting kerana majoriti masyarakat tersebut adalah buta huruf.
Program Jalinan Komuniti Desa (JAKSA) ini diadakan adalah untuk merapatkan ukhuwah antara masyarakat orang asli dengan mahasiswa universiti di samping meningkatkan tahap komunikasi lisan serta bukan lisan dalam kalangan masyarakat orang asli. Program ini juga bertujuan memberikan peluang kepada barisan ahli jawatankuasa untuk menimba pengalaman baru yang bermanfaat pada masa akan datang. Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat orang asli mengenai kepentingan pendidikan.
Yang Di-Pertua (YDP) Persatuan Belia Harmoni, Muhammad Izzuddin Muzaiyin berkata, “Rasional pelaksanaan program ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat di Kampung Orang Asli, Ulu Jelintoh, Gopeng dengan mahasiswa UPSI.”
“Saya berharap lebih ramai lagi mahasiswa yang lebih cakna dalam menganjurkan program seperti ini agar mereka dapat mengetahui serta mempelajari sendiri gaya hidup masyarakat orang asli dari segi pembangunan komuniti, pendidikan, sosio-ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan lain-lain,” ujarnya lagi.
Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Rheumatologi UD56, Dr. Noraini Mat Husin mengatakan, “Jangan biarkan anak-anak mewarisi kesusahan hidup dari ibu bapa dengan tidak menghantar anak-anak ke sekolah untuk belajar.”
“Salah satu faktor yang menyebabkan masyarakat orang asli rasa bahawa mereka tidak perlu sambung belajar sehingga ke universiti adalah disebabkan mereka ada adat yang tersendiri, maka mereka rasa mereka boleh ‘survive’, mereka boleh hidup dengan cara bertani, memukat hasil hutan dan memburu, jadinya mereka rasa lebih selesa dengan kehidupan sebegini,” tambahnya lagi.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah persembahan tarian sewang yang diketuai oleh Puan Wah Rubi, ahli jawatankuasa kampung tersebut. Tarian ini dipersembahkan oleh 8 orang penari terdiri daripada komuniti orang asli. Sewang adalah antara upacara turun-temurun masyarakat Orang Asli bagi meraikan tetamu, perayaan, mengubati penyakit ataupun meminta petunjuk untuk merungkai masalah.
Seterusnya, adalah aktiviti mewarna yang terdiri daripada kanak-kanak dalam lingkungan umur 1 hingga 15 tahun dan cabutan bertuah bagi memeriahkan program tersebut. Pada sebelah petang, program tersebut diteruskan lagi dengan slot ‘Masyarakat Berilmu, Insan Harmoni’ yang disampaikan oleh Pakar Perunding.
Program ini turut dihadiri oleh Pembantu Hal Ehwal Islam (Muballigh) Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) Pejabat Agama Islam Daerah Kampar, Ustaz Abd Halim Abdul Latiff.