Oleh: Puan Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi (Unit Integriti)

Ipoh, 08 Februari 2024 –  Kunjungan hormat Pengurusan Tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah disambut baik oleh Pengarah, SPRM Perak, TPj. Ahmad Sabri Mohamed, Timbalan Pengarah Operasi KPKPj Mustafa Kamal bin Ahmad, Timbalan Pengarah Pencegahan, PKPj. Jaafar Tajudin beserta beberapa Pegawai Kanan SPRM Perak.

Delegasi Pengurusan Tertinggi UPSI seramai 11 orang diketuai oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Penasihat Undang-Undang UPSI, Salwati Mohd Aris, Bendahari UPSI Mohd Najib Mohammad serta beberapa wakil pengurusan tertinggi dan Ketua Jabatan UPSI.

Sesi menandatangani buku pelawat oleh Naib Canselor
Sesi perbincangan hasrat kunjungan hormat UPSI ke SPRM Perak

Kunjungan hormat ini adalah untuk berkenalan dan merapatkan ukhuwah antara UPSI dengan Pejabat SPRM Perak memandangkan banyak aktiviti yang telah dilaksanakan secara bersama selain sebagai platform kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan jaringan kerjasama yang boleh dicapai terutamanya dalam bidang akademik serta tindakan yang boleh diambil dalam memperkasakan agenda pembanterasan jenayah rasuah dalam sektor pendidikan memandangkan UPSI bakal melahirkan guru yang akan menjadi model cerminan dan peneraju transformasi warga.

Menurut Ahmad Sabri, kerajaan telah mensasarkan 10 tahun akan datang untuk berada di tangga 25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Tahun 2023, skor CPI Malaysia naik 3 mata kepada 50 mata, berbanding 47 mata pada tahun 2022. Skor itu juga telah meletakkan Malaysia di kedudukan 57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga 61 pada tahun 2022. Walaupun skor CPI naik 3 mata, namun skor tersebut masih tidak boleh dibanggakan kerana masih lagi di tahap rendah. 

Menurut beliau, sasaran untuk Malaysia berada di tangga 25 adalah rasional berdasarkan kepada pencapaian Korea Selatan yang telah berada di kedudukan ke-31 bagi CPI tahun 2022 dengan peningkatan selama 6 tahun berturut-turut. Tambah beliau, CPI adalah berkaitan dengan persepsi negatif masyarakat antarabangsa tentang apa yang berlaku di Malaysia. Kita tidak boleh menghalang persepsi orang cuma kita boleh tunjukkan apa yang ditunjukkan itu bukanlah suatu yang realiti dengan mempamerkan persepsi positif bagi melawan persepsi negatif tersebut. Walaupun CPI bukanlah pengukur sebenar situasi rasuah di sesebuah negara, namun ianya membabitkan imej negara di persada dunia yang sewajarnya dipandang serius oleh setiap golongan masyarakat.

Justeru, hasrat ini hanya dapat dicapai sekiranya pencegahan rasuah ini dapat dilaksanakan dari akar umbi dengan memberikan pendedahan dan kesedaran asas mengenai antirasuah kepada warga kerja universiti terutamanya kepada golongan mahasiswa kerana mereka adalah golongan pemacu dalam memastikan mesej dan gerakan revolusi ini sampai kepada rakyat.

Sesi kunjungan hormat ini adalah salah satu langkah proaktif yang dirangka oleh Pengurusan Tertinggi UPSI dalam melaksanakan tadbir urus terbaik secara berterusan selaras dengan Arahan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri (PM) No 1 Tahun 2023 berkaitan dengan gerakan pemantapan tatakelola yang telah dikeluarkan pada 08 Januari. UPSI cakna dan menyokong penuh arahan oleh YAB PM ini dan sedang dalam proses ke arah penubuhan Jawatankuasa Tatakelola (JTK) UPSI bagi menggantikan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR).

Kunjungan hormat yang dilaksanakan ini juga telah menjalin satu ukhuwah yang memberikan impak yang sangat positif dengan kemudahan fasiliti yang dimiliki oleh kedua-dua pihak yang akan membuka ruang dan peluang berkerjasama bagi penganjuran-penganjuran program serta aktiviti-aktiviti berbentuk pencegahan rasuah yang boleh dilaksanakan di dalam Negeri Perak sekaligus dapat mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung bersempena Tahun Melawat Perak 2024.

Mengakhiri sesi kunjungan hormat ini, delegasi UPSI telah dibawa untuk sesi lawatan ke bangunan SPRM Perak yang melibatkan beberapa lokasi utama seperti Galeri, Bilik Siasatan, Bilik Rakaman serta Lokap SPRM yang cukup menginsafkan setiap pengunjung. Hasrat Naib Canselor UPSI agar sesi lawatan ini dapat diteruskan dan dikembangkan kepada seluruh warga UPSI khususnya kepada golongan mahasiswa supaya mereka dapat ‘merasai’ pengalaman berada dalam bilik siasatan dan lokap SPRM dengan kemudahan yang sangat minimal sekaligus memberikan pendedahan kepada warga akan peranan serta tanggungjawab SPRM secara bersama-sama.

Kunjungan hormat ke SPRM ini adalah langkah pertama universiti sebagai salah satu usaha dalam mengekang budaya rasuah daripada terus berleluasa di universiti sekaligus membantu SPRM bagi menjayakan agenda nasional untuk meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang. Hasrat ini hanya dapat direleasasikan dengan hubungan kerjasama yang baik antara SPRM dengan agensi-agensi awam bagi memartabatkan agenda negara dalam membasmi jenayah rasuah di Malaysia.