Oleh: Dr. Sajastanah Imam Koning

Tanjong Malim – Landskap sosial negara yang kaya dengan pelbagai budaya hasil daripada pertembungan dan interaksi dalam pembentukan Malaysia pada hari ini seharusnya dijadikan sebagai kandungan utama dalam kurikulum khususnya Pendidikan Muzik di sekolah pada masa kini. Hal ini perlu diambil serius oleh pihak yang berwajib bagi melestarikan agenda perpaduan negara.

Sempena majlis Syarahan Perdana Pelantikan Profesor yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Hassan Abdullah dari Jabatan Muzik dan Pendidikan Muzik, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), beliau memetik beberapa cabaran yang wajar diatasi segera supaya kurikulum baharu yang menumpukan aspek pembentukan karakter dapat direalisasikan.

Antara cabaran tersebut ialah kandungan yang terlalu menekankan konsep muzik Barat yang mengetepikan muzik tempatan, kurangnya sistem penilaian bagi muzik tradisional Malaysia, isu kesihatan yang berkaitan dengan pembelajaran alat muzik dan keberkesanan mata pelajaran Pendidikan Muzik di sekolah awam.

Prof. Dr. Mohd Hassan dalam syarahannya bertajuk ‘The Adaptation and Syncretism of Malaysian Musical Culture: How does it survive in the Malaysian “Multicultural” Music Education?’ itu mengutarakan ketidakseimbangan bahan pengajaran khususnya melodi tempatan dalam penyampaian mata pelajaran Pendidikan Muzik antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di negara ini.

“Melodi sebagai bahan pengajaran yang disampaikan di sekolah perlu seimbang dan mengikut populasi rakyat di negara ini,” katanya.

Syarahan Perdana ini turut diselang-selikan dengan demonstrasi muzik Wayang Kulit Kelantan di mana beliau turut secara langsung bernyanyi dan memainkan alat-alat pergendangan.

Menurut Mohd Hassan, muzik di Malaysia pada suatu ketika dahulu dipengaruhi oleh unsur dari luar seperti tradisi Hindu dari India, Islam dari tanah Arab, Siam, Indonesia dan penjajahan kolonial.

Beliau turut mengutarakan kekeliruan dalam memahami asal-usul sesuatu melodi itu contohnya lagu “Dayung Sampan” dan “Tian Mi Mi”. Mohd Hassan juga menegaskan pentingnya untuk memahami konsep melalui perbincangan akademik yang telah mengklasifikasikan proses yang dikenali sebagai muzik hibrid – adaptasi atau sinkretik.

Syarahan Perdana Perlantikan Profesor itu disampaikan beliau di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI selama 4 jam.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff turut hadir dalam majlis berkenaan dan diiringi oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. Muhammad Fazli Taib Saearani turut membacakan biodata Prof. Dr. Mohd Hassan Abdullah dan pencapaian beliau dalam bidang penyelidikan, pengkomersialan, penyeliaan pelajar, penerbitan dan perundingan.

Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya menyatakan, Mohd Hassan adalah antara tonggak utama UPSI di awal penubuhan.

“Sumbangan beliau yang paling besar pada ketika itu ialah bersama-sama Prof. Zaharul Laliddin Saidon menubuhkan Fakulti Seni dan Muzik, satu-satunya fakulti yang mempunyai bangunan dan fasiliti sendiri sebelum wujudnya fakulti-fakulti lain.

Mohd Hassan menyeru ahli-ahli akademik Pendidikan Muzik yang lain agar melihat isu-isu yang diketengahkan oleh beliau dalam syarahnnya bagi memastikan muzik tradisi terus lestari dalam bidang pendidikan.