Oleh: Nurul Azira Zulkifli

Kolej Ungku Omar, UPSI – Pengendalian haiwan berbisa menjadi salah satu kriteria istimewa Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dalam berhadapan dengan masalah gangguan ular yang acap kali berlaku terutamanya ketika perubahan cuaca yang tidak menentu. Sehubungan dengan itu, Exco Sains Teknologi dan Inovasi Pertanian, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dengan kolaborasi pihak Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Mualim telah menjayakan bengkel Face The Fear pada 18 Januari lalu bagi memberikan pendedahan berkaitan pengendalian ular berbisa kepada warga Kolej Ungku Omar

Bengkel yang disertai 51 orang mahasiswa UPSI ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran mahasiswa dalam mengendalikan haiwan berbisa khususnya ular di samping melatih peserta untuk tidak cemas dan takut apabila berhadapan dengan ular berbisa.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah dikenalkan dengan tujuh jenis ular yang biasa dilihat namun bisanya boleh memudaratkan mangsa iaitu ular ponti, ular sawa, ular sawa burung, ular daun, ulat tedung senduk, ular rusuk kerbau dan ular tikus. Seterusnya, peserta didedahkan dengan kaedah menangkap ular yang betul dan cara mengendalikan ular selepas ditangkap melalui simulasi yang diadakan di Protani KUO. Bagi meningkatkan lagi keberanian, peserta berpeluang untuk menyertai simulasi pengendalian ular dengan pantauan dan bimbingan pihak APM.

“Saya yakin kebanyakan mahasiswa hari ini masih kurang pengetahuan dan takut untuk mengendalikan ular kerana kemahiran yang masih lemah, tetapi saya sangat berbangga dengan pengarah program kita, Alif Irfan, kerana beliau terbuka minda untuk menganjurkan bengkel seperti ini demi menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar pada masa akan datang. Saya amat berharap bengkel ini memberikan pengalaman yang dapat membentuk mahasiswa menjadi individu yang holistik dan dinamik dalam masyarakat,” kata Kapten (PA) Shahrizal Husin, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Mualim.

Dr. Nuzsep Almigo, Felo Kolej Ungku Omar berkata “Melalui program ini, saya dapat lihat mahasiswa UPSI diberi pendedahan tentang teknik-teknik keselamatan, langkah mengendalikan, dan pemahaman terperinci mengenai sifat-sifat haiwan berbisa. Latihan ini diselenggarakan secara profesional oleh APM Mualim, yang membawa pengalaman luas dalam pengurusan haiwan berbisa di kawasan Protani Kolej Ungku Omar. Perkara sebegini harus diambil penekanan agar kesejahteraan mahasiswa dan warga UPSI terjamin.”

Bengkel ini turut mengambil kira maklum balas peserta bagi melihat keberkesanan bengkel terhadap tahap pengetahuan, keyakinan dan keberanian peserta dalam mengendalikan ular berbisa. Idham Morsidi, peserta program berkongsi “Saya sentiasa takut dengan ular, tetapi dengan bimbingan APM Mualim, saya kini lebih yakin dan tahu cara untuk menghadapi ketakutan itu dengan lebih baik.”

Dengan adanya bengkel seperti ini, diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan mahasiswa UPSI berkaitan ular berbisa seterusnya pantas bertindak dalam mengendalikan haiwan berbisa pada masa akan datang.