Oleh: Izzah Dalila & Ahmad Fawzan
Tanjong Malim, Perak – Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Pensijilan Profesional Ulul Albab (Tahap Pertengahan) selama tiga hari bermula pada 2 hingga 4 Februari. Program ini adalah salah satu inisiatif PUA dalam meningkatkan kualiti pengetahuan dan membangunkan mahasiswa yang memiliki kemahiran, keseimbangan, penguasaan dalam pelbagai bidang, serta kemampuan berfikir kreatif, kritis, dan inovatif. Program ini disertai seramai 54 mahasiswa terpilih yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan ahli Kelab Sabahat Ulul Albab (KeSUA) UPSI.
Program Pensijilan Profesional Ulul Albab Peringkat Pertengahan ini merupakan kesinambungan daripada Program Pensijilan Profesional Ulul Albab peringkat Asas. Peserta yang lulus peperiksaan Peringkat Asas terpilih untuk ke Peringkat Pertengahan. Selaras dengan program Peringkat Asas, Peringkat Pertengahan menggunakan konsep yang sama iaitu penekanan dalam pendedahan tiga elemen utama Ulul Albab iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik namun secara lebih terperinci dan mendalam. Pendedahan yang lebih luas membuka peluang kepada peserta untuk lebih memahami dan mendalami setiap elemen, sekaligus menjadikan mereka insan holistik yang mempraktikkan nilai 3 elemen tersebut dalam diri.
Program ini merangkumi 3 slot pengisian bagi setiap elemen utama model Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik (QEI) dan ia mempunyai perkaitan dan menghasilkan pencerahan yang lebih jelas tentang elemen tersebut.
Slot “Quranik 1: Jiwa Kacau” oleh Dr. Ahmad Amri Zainal, mendedahkan kepada peserta tentang menelusuri kekuatan zikir sebagai salah satu kaedah untuk mencapai ketenangan jiwa sepertimana yang dianjurkan dalam al-Quran. Pendekatan ini memberi impak kepada peserta untuk menghadapi sesuatu ujian dan menukarkan ia menjadi satu peluang dalam mengembangkan potensi dan bakat diri.
Selanjutnya, dalam topik “Quranik 2: Kain Putih”, Zulkifli Mamat, menyampaikan modul yang berkonsepkan hubungkait antara ayat Al-Quran dan penekanan dalam akhlak. Ilmu yang diberikan oleh panel menimbulkan rasa tanggungjawab dan membina modal insan peserta.
Dr. Makmur Harun mengisi “Quranik 3: Pujangga Tertinggi” dengan memberi tumpuan dalam penafsiran 16 ayat-ayat Ulul Albab dari segi ketinggian bahasa dan sastera al-Quran serta penggunaan bahasa dan nilai falsafahnya untuk mendidik peserta dalam memahami dan menghayati ketinggian pujangga yang ada di dalam kitab suci al-Quran. Hasilnya, peserta dapat mencabar minda untuk berfikiran kreatif dan kritis dalam menyelidiki dan memahami satu nilai ilmu yang tinggi.
Dari aspek pengembangan diri, modul “Ensiklopedik 1: Pengurusan Masa” oleh Sadzali Hassan dan Dr. Nurul Izza Wan Hussin, berkisarkan pengetahuan dan kemahiran tentang pengurusan masa yang efektif, sebagai kunci untuk mencapai keseimbangan dan produktiviti yang tinggi dalam kehidupan. Antara aktiviti yang dilakukan adalah ‘Membina Garisan Kehidupan’ dan ‘Pembinaan Jadual Harian’. Aktiviti ini meningkatkan keupayaan peserta dalam mengeluarkan satu keputusan yang meliputi dan memenuhi segala aspek kehidupan.
Seterusnya, modul “Ensiklopedik 2: Pitch & Sell Your Ideas” oleh Dr. Sayed Muhammad Sayed Yahya dan Dr. Amalina Ahmad Tajuddin, menekankan kemahiran pembentangan dan komunikasi dalam diri peserta, melengkapkan peserta dengan tips untuk menyampaikan idea dan pemikiran mereka secara efektif supaya dapat memberi kesan kepada khalayak. Contohnya, teknik komunikasi bukan lisan yang berkesan dalam pembentangan dan alat visual yang boleh membantu dalam pembentangan adalah antara teknik yang diajar.
Slot “Ensiklopedik 3: Spice with Polite and Positive English (PPE)” oleh Zahren Zakaria, memfokuskan kepada kesantunan berbahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Peserta didedahkan dengan pelbagai strategi berasaskan penggunaan bahasa Inggeris secara beradab dalam berkomunikasi dengan orang sekeliling tanpa mengira latar belakang. Topik ini mengembangkan lagi kemampuan peserta untuk berkomunikasi dengan baik dalam pelbagai konteks sosial dan situasi dalam kehidupan seharian.
Dalam fokus kreativiti dan inovasi, Slot “Ijtihadik 1: 1 Moment 1000 Mind” oleh Dr. Nafizah Mohd Noor, bertujuan memperkenalkan konsep kreatif dan inovatif serta perkaitan dan perbezaan antara keduanya. Kandungan modul ini membantu peserta dalam mengasah dan mencungkil kreativiti dalam diri.
Seterusnya “Ijtihadik 2: It’s All on Me” oleh Dr. Ruaibah Yazani Tengah memberikan penerangan lebih lanjut kepada tentang mengenal pasti teknik dan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. Minat Berfikir, Imaginasi dan Sinergi adalah antara konsep berfikir secara kreatif yang didedahkan supaya peserta dapat aplikasikan dalam proses pembelajaran.
Dalam topik “Ijtihadik 3: Let’s Duit Now” bersama Rasyidi Johan dan Dr. Nafizah Mohd Noor, menjelaskan kepada peserta tentang penggunaan tool dan kaedah menggunakannya dalam menangani sesuatu isu. Antara kaedah yang didedahkan adalah ‘Six Thinking Hats’, ‘Fish Bone (Diagram Sebab dan Akibat)’ dan juga ‘PDCA (Plan Do Check Action). Penggunaan tool ini dapat membantu Peserta dalam berfikiran secara kritis dalam proses menyelesaikan masalah dan mampu berinovasi dalam membina sesuatu produk yang memudahkan kehidupan seharian.
Para peserta akan dapat menguasai pelbagai ilmu yang dipelajari khususnya dalam mengaplikasi prinsip, konsep dan amalan pengurusan asas untuk pengurusan diri yang lebih berkesan. Mereka juga diharap dapat mengaplikasikan kemahiran QEI dengan berkesan dalam menyokong objektif, berkomunikasi dengan pihak berkepentingan dengan keyakinan tinggi dan berupaya bekerja dalam kumpulan secara efektif.