Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi
Perkembangan teknologi semakin meningkat hari ini ternyata amat memberi kesan kepada manusia menjalani kehidupan seharian. Antara cabaran dan ancaman baharu dihadapi individu hari ini adalah penipuan dalam talian atau scam.
Seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin pesat, jenayah penipuan siber atau scam juga menunjukkan trend semakin membimbangkan dan hampir setiap hari ada sahaja kes mangsa ditipu melalui panggilan telefon atau media sosial.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, capaian isi rumah di Malaysia kepada internet meningkat 96 peratus pada 2022 berbanding 94.9 peratus pada 2021, membuktikan negara kini mengadaptasi norma baharu secara dalam talian sehingga sekarang.
Dewan Rakyat baru-baru ini dimaklumkan sebanyak 107,716 kes jenayah scammer direkodkan antara 2020 hingga 2023 dengan nilai kerugian keseluruhan RM3.2 bilion. Dalam tempoh antara 12 Oktober 2022 sehingga 31 Januari lalu, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima 71,631 panggilan berkaitan kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM245 juta.
Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mendedahkan, kes penipuan dalam talian meningkat 23 peratus pada tahun lalu. Sebanyak 19,224 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September 2023 berbanding 15,658 kes bagi tempoh sama pada 2022.
Statistik turut menunjukkan mangsa scam merentasi peringkat usia dan latar belakang termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guru, jurutera, doktor, ahli perniagaan, pesara dan warga emas.
Antara jenis penipuan paling popular di Malaysia adalah Macau Scam yang merekodkan jumlah mangsa sangat tinggi sehingga ke hari ini, selain pelbagai jenis scam lain.
Dalam pada itu, transaksi penipuan bernilai RM351 juta berjaya dihalang oleh 13 bank yang menjadi ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu.
Atas faktor ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menyatakan kerajaan sedang dirangka akta baharu bagi meningkatkan keselamatan digital dan membanteras penipuan dalam talian dengan turut mengambil kira tindakan sewajarnya kepada institusi perbankan, sekiranya terdapat kecuaian.
Komitmen kerajaan ini sangat dialu-alukan susulan peningkatan ketara kes scammer sejak kebelakangan ini. Apa yang penting, akta berkenaan bukan sahaja mampu mengambil tindakan sewajarnya kepada scammer, tetapi melindungi kebajikan mangsa.
Dalam hal ini, mungkin ada keperluan untuk Akta Perlindungan Pengguna 2007 dikaji semula, terutama dari sudut hukuman setimpal wajar dikenakan kepada sindiket ini bagi memerangi penipuan siber.
Perhebat kempen kesedaran
Selain itu, aspek paling utama yang mungkin terlepas pandangan adalah memberi kefahaman kepada orang awam mengenai jenis atau bentuk scammer supaya mereka sentiasa peka dan dapat menghidu taktik sindiket ini pada peringkat awal supaya tidak terjerumus dalam kancah penipuan, termasuk menjadi keldai akaun.
Antara yang boleh dibuat adalah membuat kempen kesedaran ancaman scammer di sekolah sehingga di universiti bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Orang awam perlu sentiasa diberi peringatan supaya waspada dan tidak klik pautan mencurigakan apabila menerima (khidmat pesanan ringkas) SMS tidak dikenali, selain tidak membuat sebarang transaksi pindahan wang tanpa pengesahan pihak berkenaan terlebih dahulu.
Pengguna peranti pintar patut digalakkan memuat turun aplikasi mengenai penipuan panggilan bagi mengelakkan diri terdedah kepada jenayah dalam talian.
Jenayah scam ini wajar diberi perhatian serius semua lapisan masyarakat pada semua peringkat usia kerana masih ada menjadi mangsa, walaupun sudah berhati-hati dan waspada terhadap ancaman scammer. Jenayah scam ini bukan sahaja menyebabkan mangsa kerugian wang, bahkan memberi kesan emosi dan psikologi yang boleh membawa kepada penyakit kemurungan serius.
Peningkatan jenayah scam ini menunjukkan perlunya satu akta khusus digubal dan diluluskan dengan segera bukan sahaja bagi melindungi pengguna, bahkan untuk menangani pelbagai kerugian ditanggung mangsa serta kerajaan.
Artikel juga telah disiarkan di Berita Harian:
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2024/03/1221743/gubal-akta-tangani-scammer-perlu-klausa-lindungi-kebajikan-mangsa