Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Acheh – Bersama membina potensi, selaras dengan slogan yang diamalkan, Pusat Kaunseling UPSI dengan kerjasama Psychological First Aid (PFA) UPSI mengambil ruang dan peluang melalui Program Kesukarelawan Antarabangsa dan Lawatan Sambil Belajar, untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang ada dengan kaunselor sekolah Aceh, pensyarah serta Himpunan Mahasiswa Bimbingan dan Konseling Universitas Syiah Kuala (USK), Acheh. Bertempat di Auditorium Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), bengkel ini telah berlangsung pada hari ketiga program iaitu 6 Mac lalu.
Program pada hari ini telah dirasmikan oleh Dr. Sanusi, S.Pd., M.Si, Wakil Dekan 1 Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, USK. Turut terlibat secara langsung pada program kali ini, Dr Pau Kee, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI yang turut merupakan jurulatih PFA utama, Hetty Zuliani, S.Pd., M.Ed., Ph.D., Pengarah Mahasiswa Universitas Syiah Kuala, NurBaity, S.Pd., M.Pd., Pengarah Mahasiswa Universitas Syiah Kuala dan Pengarah Pusat Ulul Albab, UPSI, Dr Sakinah Salleh.
Seramai 50 orang peserta telah terlibat dalam program ini yang bertujuan memberi pendedahan tentang bantuan awal psikologi untuk trauma, khususnya trauma selepas tragedi Tsunami. Insiden yang dahsyat ini bukan sahaja meninggalkan kesan yang boleh dilihat melalui fizikal, malah mangsa turut mengalami kesan psikologi yang tidak terlihat melalui mata kasar. Oleh yang demikian, amat penting untuk melatih kaunselor mengenai cara mengendalikan krisis, mengaplikasikan bantuan awal psikologi agar dapat membaikpulih kefungsian individu yang terkesan akibat bencana. Sepanjang program berlangsung, peserta yang terlibat telah didedahkan dengan konsep asas PFA, perkara yang harus dan tidak harus dilakukan semasa memberi bantuan, mengaplikasikan 3Ls: Melihat, mendengar, menghubung serta pengaplikasian berdasarkan kes senario yang disediakan.
Peserta yang terlibat juga diberi maklumat-maklumat baharu berkaitan bantuan psikologikal, terutama dari sudut jenis, tugasan Psychological First Aid, perbezaan antara psikologi dan kaunseling, jenis – jenis krisis yang boleh terjadi dan juga mengetahui zon selamat yang sesuai untuk menjalankan misi bantuan PFA semasa di lapangan. Pengetahuan tentang perkara asas dalam bantuan psikologi amat penting untuk pelaksanaan Bantu Mula kepada mangsa supaya rawatan susulan dapat ditentukan. Mangsa yang baru sahaja mengalami trauma sudah tentu tidak dapat berfikir secara rasionak dan tidak berupaya untuk membuat penelitian sebelum sesebuah keputusan diambil.
Melalui penganjuran program ini juga dapat mengeratkan hubungan pelbagai budaya antara kedua buah universiti. Peserta yang terlibat bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan baharu tentang bantuan psikologi yang boleh dilaksanakan, malah mereka juga berpeluang untuk saling bertukar pandangan budaya yang diamalkan oleh kedua – dua buah negara. Cara kehidupan masyarakat di sesuatu tempat juga mempengaruhi tahap mental mereka, oleh itu, cara pengaplikasian bantuan awal psikologi juga perlulah sesuai dan mengikut amalan budaya masyarakat di sesuatu tempat. Tanpa pengetahuan yang jelas terhadap amalan budaya, kemungkinan cara perawatan yang digunakan kurang memberi impak. Perkongsian ini juga sebagai bentuk penghargaan kepada USK dalam membantu untuk menjayakan program kesukarelawan Pusat Kaunseling UPSI sepanjang di Acheh.
Hasil daripada program ini, peserta yang terlibat dapat menjalani latihan dan simulasi sebenar dalam mengendalikan kes trauma semasa di kawasan bencana. Latihan secara terus ini amat berharga dan tidak dapat dirasai oleh semua individu dan seharusnya dihargai oleh peserta yang terlibat. Pengetahuan dan kemahiran baru yang diperoleh sepanjang program silang budaya ini dapat dipalikasikan oleh peserta yang terlibat ketika pulang semula ke institusi masing – masing. Pengalaman berharga dalam merasai sendiri secara terus kesan dari bencana yang terjadi perlu diambil iktibar dan mensyukuri segala nikmat yang diperoleh.
Secara keseluruhan, program ini berjaya dilaksanakan dengan semua objektif yang dirangka dapat dicapai dan terlaksana dengan jayanya. Jalinan kerjasama antara Pusat Kaunseling UPSI dan Himpunan Mahasiswa Bimbingan dan Konseling USK berjaya dimeterai untuk program berimpak tinggi pada masa akan datang. Kesempatan ini juga memberi ruang kepada mahasiswa UPSI untuk mengorak langkah baharu dengan mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan merentasi sempadan.