Oleh: Nurul Ainie Abdullah
Kuala Lumpur – Lima fakulti dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyahut Aspirasi Naib Canselor UPSI 2024 dengan penglibatan dalam Bengkel Pembangunan Program Ijazah Dual (Dual Degree) di Hotel Seri Pacific pada 07 hingga 09 Mac lalu. Fakulti tersebut ialah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).
Bengkel ini bertujuan untuk menyediakan dokumen bagi membangunkan Program Ijazah Dual di UPSI bersama beberapa universiti luar negara yang telah dikenal pasti iaitu United Kingdom, Uzbekistan dan Indonesia. Dokumen tersebut akan dihantar ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk kelulusan dan seterusnya penawaran program kepada para pelajar.

Pusat Pembangunan Akademik selaku penganjur telah menjemput Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik) ️Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr Kamal Yusoh untuk mengadakan sesi perkongsian berkaitan Program Ijazah Dual (Dual Degree) ini.
“Pembangunan program ijazah dual ini merupakan salah satu usaha memartabatkan program akademik yang ditawarkan di UPSI untuk ke arah pengantarabangsaan di samping memberi kelebihan kepada pelajar daripada segi pengiktirafan,” ucap Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dalam sesi aluan.
Beliau berharap bengkel ini menjadi medan perbincangan dan perkongsian ilmu serta idea dalam usaha untuk merealisasikan penawaran program ijazah dual di UPSI.

Seramai 30 orang peserta terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Ketua Jabatan dan juga Pensyarah yang terlibat untuk menguruskan Dual Degree telah terlibat dalam menjayakan pelaksanaan bengkel ini.