oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Acheh– Bersempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengunjungi Universitas Syiah Kuala, Acheh, Indonesia. Program International Corporate Social Resposibility and Study Tour to Acheh yang dirangka selama empat hari ini menyaksikan pelbagai pengisian yang memberikan ilmu baharu kepada para peserta yang terlibat.

Seramai 14 orang mahasiswa dari UPSI dan 20 mahasiswa yang terdiri dalam kalangan Pelajar Bimbingan Kaunseling Universitas Syiah Kuala telah terlibat secara langsung. Program ini dijalankan bertujuan menjalinkan hubungan kerjasama antara UPSI dan Universitas Syiah Kuala (USK). Hubungan dua hala ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan dan kerjasama, malah berpotensi sebagai platform untuk bertukar idea terutama dalam bidang bimbingan dan kaunseling.
Program ini telah mendapat sokongan penuh daripada beberapa agensi luar dan Pusat Tanggungjawab UPSI sendiri antaranya, WEZAS UPSI, Pusat Islam UPSI, dan Syarikat MKR Hartamas Sdn Bhd. Program ini turut melibatkan kolaborasi daripada Pusat Alumni UPSI, Pusat Ulul Albab UPSI dan Pusat Islam UPSI.
Kehadiran delegasi telah disambut oleh wakil daripada Universitas Syiah Kuala, Dr. Drs. Syamsulrizal, M. Kes., Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, FKIP Universitas Syiah Kuala yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Acheh pada 4 Mac. Turut hadir bersama barisan pensyarah yang mesra dipanggil Ibu Hetti, Ibu Fitrah, dan Ibu Nurbaity. Wakil dari USK telah membawa delegasi UPSI untuk melawat sekitar Bandar Acheh. Bagi mendalami sendiri pengalaman Tsunami yang melanda pada 2004, delegasi UPSI telah dibawa melawat Muzim Tsunami Acheh.
Lawatan ini dapat memberikan pendedahan sebenar kepada peserta mengenai kawasan pasca bencana serta kesan yang dialami bukan sahaja kepada kawasan yang terlibat, malah penduduk setempat. Hal ini jugu mampu memberikan pendedahan dan pengalaman mengenai sosiobudaya masyarakat di Acheh.


Sepanjang hari pertama berlangsung, dapat dilihat mahasiswa daripada kedua-dua buah universiti menunjukkan kesepakatan dan keharmonian dalam usaha menjayakan program yang telah dirancang. Perkongsian pengalaman mampu menambah pengetahuan dan kaedah penyelesaiana yang diambil dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Lawatan ke Muzium Tsunami Acheh juga memberikan peluang dan ruang kepada mahasiswa UPSI yang terlibat untuk melihat dan memahami dengan lebih jelas kesan bencana dan bagaimana masyarakat Acheh bangkit dalam membina semula budaya dan tamadun yang pernah diamalkan di Acheh. Mahasiswa juga dapat mengetahui dengan lebih lanjut serta cakna tentang kepentingan adaptasi sosiobudaya masyarakat di Acheh.