Oleh: Aida Najwa Zahidan & Noor Syaibah Shabuddin

Kuala Lumpur – Kursus Crisis Support Squad yang telah dikelola oleh Majlis Kaunseling Universiti Malaysia (MAKUMA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah disertai oleh lebih 40 orang perwakilan dalam kalangan ahli Pembimbing Rakan Siswa universiti-universiti awam Malaysia.

Program bertempat di Institut Sosial Malaysia ini melibatkan penyertaan dua wakil universiti iaitu Muhammad Alif Qusairy Zulkafli dan Nurin Athirah Mohd Ramli. Program selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mac lalu ini dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor, Pembangunan dan Kualiti Akademik, UPNM, Prof. Dato’ Dr. Norhasni Zainal Abiddin.

Program ini diadakan bertujuan memperkasakan mahasiswa dalam membantu masyarakat di sekeliling melalui konsep merakyatkan mahasiswa. Konsep ini lebih memberi pendedahan tentang pentingnya mahasiswa kini untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling terutama ketika berlakunya bencana. Pendekatan ini sekaligus meningkatkan rasa cakna, empati dan tanggungjawab terhadap masyarakat yang bukan sahaja memerlukan bantuan dari segi bantuan barangan dan kebendaan, tetapi juga bantuan sokongan moral, emosi dan spiritual untuk berhadapan dengan dugaan yang menimpa.

Slot senam robik
Aktiviti ‘energy boost’

Penganjuran program seperti ini juga dapat memperkasakan serta memperluaskan perkhidmatan kaunseling psikososial dalam kalangan masyarakat. Tidak semua masyarakat mengetahui tentang saluran yang dapat membantu mereka untuk memberikan sokongan moral. Program ini dapat memberikan pendedahan kepada mahasiswa untuk lebih celik tentang keadaan semasa masyarakat terutama tentang tanggapan terhadap khidmat kaunseling yang ditawarkan.

Menurut Muhammad Alif, program seperti ini dapat meningkatkan kemahiran peserta dan mendengar dengan empati serta memberi sokongan psikososial yang berkesan kepada mangsa bencana alam. Pelbagai teknik dan kaedah yang dikongsikan kepada para peserta untuk dipraktikan di lapangan jika terdapat sebarang bencana. Kaedah yang dikongsikan dapat membimbing mahasiswa yang terlibat berkaitan strategi komunikasi yang betul dan cara menguruskan situasi berpotensi mengancam kesejahteraan mental mangsa ketika bencana alam. Cara dan kaedah yang betul dan berkesan amat penting supaya mangsa berasa selesa dan selamat ketika mendapatkan bantuan. Mahasiswa yang terlibat juga berpeluang untuk berlatih secara langsung melalui peranan simulasi dan kajian kes, supaya mereka dapat menggunakan kemahiran yang diajar secara efektif dalam situasi sebenar semasa memberikan sokongan kepada mangsa bencana alam ketika di lapangan.

Muhammad Alif (kiri) bersama wakil PRS UPSI sempena pelantikan sebagai Timbalan Presiden 1 PRSK 2024/2025

Pada hari terakhir program, sesi perbincangan meja bulat dan watikah pelantikan bagi pemilihan barisan kepimpinan Perwakilan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PPRSK) bagi sidang 2024/2025 telah diadakan bagi meneraju tampuk kepimpinan PRSK yang baharu. Sebanyak 8 tempat telah diisi melibatkan wakil-wakil daripada kalangan PRS universiti awam yang hadir. Dalam pencalonan itu, Muhammad Alif Qusairy Zulkafli telah dilantik sebagai Timbalan Presiden 1 bagi Perwakilan PRSK sidang 2024/2025. Alif Qusairy telah dipilih daripada 20 orang calon lain yang disenarai untuk memegang jawatan yang terlibat. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan di tahun yang akan datang kerana mahasiswa dapat didedahkan dengan ilmu psikologi dan teknik yang berkesan dalam membantu masyarakat yang mendepani kecelaruan emosi sewaktu berada dalam krisis bencana.