Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Tanjong Malim- Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu program perkongsian bertemakan Bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma pada 22 Mac lalu. Perkongsian pada kali ini lebih tertumpu kepada salah satu cara atau kaedah yang dapat digunakan oleh semua pihak untuk menguruskan stres melalui aktiviti memasak. Terdapat pelbagai cara yang dapat dilaksanakan untuk menguruskan stres dan tidak semestinya melalui cara yang dipopularkan oleh ramai pihak seperti bersenam atau berkhemah. Setiap individu mempunyai cara dan pendekatan yang tersendiri untuk menguruskan stres. Program pada kali ini melibatkan perkongsian daripada panel yang dijemput iaitu Penolong Kurator Fakulti Sains dan Matematik, UPSI, Marina binti Karunzaman.
Berkonsepkan aktiviti masak memasak, program Kitchen Therapy: Ramadan and Raya Recipes ini bertujuan memberikan input dan pengetahuan mengenai resepi dan cara memasak menu kepada pelajar UPSI terutamanya sepanjang bulan Ramadan ini. Perkongsian menu yang mudah dan ringkas ini bukan sahaja dapat dilakukan oleh pelajar ketika bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma, malah dapat dilakukan oleh pelajar ketika berada di kolej kerana menggunakan bahan yang mudah dan teknik yang mesra pelajar. Menu-menu yang telah dikongsikan oleh panel seperti Kek coklat kukus, kuih Samperit Tradisional, dan Air Bunga Telang. Penggunaan bahan-bahan dalam menu ini bukan sahaja melengkapkan resipi tersebut, malah mempunyai khasiat dan kelebihan yang tersendiri terutama dalam pengurusan kesihatan mental. Informasi berkaitan kelebihan setiap bahan yang terdapat dalam menu yang dikongsikan turut membantu untuk mengurangkan stres, meningkatkan kesihatan mental dan juga bertindak sebagai anti oksidan.
Program pada siri ini dilihat lebih menarik kerana ia dijalankan secara langsung daripada UPSI dan dihadiri oleh para penonton secara atas talian melalui aplikasi Zoom Meeting. Pendekatan seperti ini bukan sahaja memberikan gambaran secara langsung kepada para peserta yang menonton kerana demonstrasi masakan dijalankan serentak dan bukannya melalui tayangan video dan penerangan semata-mata. Dalam masa yang sama, para peserta boleh berinteraksi dengan panel jemputan tentang tips yang berguna untuk melakukan menu-menu yang dikongsikan. Melalui perkongsian ini dapat memberikan kesedaran kepada peserta tentang kepentingan untuk mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian terutamanya sepanjang bulan Ramadan ini.
Program ini telah berjaya membantu peserta untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai resipi membuat kek menggunakan bahan mudah dan menu yang boleh dicuba ketika bulan Ramadan. Dalam masa yang sama, mendedahkan kepentingan terapi kulinari untuk mengawal emosi dengan baik terutamanya dalam bulan Ramadan ini kepada peserta. Bahan masakan yang digunakan seperti telur, coklat dan bunga telang mempunyai khasiat yang tersendiri. Melalui memasak juga individu dapat mengekspres emosi dan berkarya dalam setiap masakan yang disediakan. Teknik yang ditunjukkan bagi setiap menu membolehkan individu menjadi lebih focus dalam mengawal emosi dan kesihatan mental.