Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri

Tanjong Malim – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited dalam merangka dan menganjur program-program berimpak dan bermanfaat bukan sahaja kepada mahasiswa-mahasiswi UPSI, bahkan melibatkan komuniti di sekitar Tanjong Malim. Melalui pendekatan ini, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) mengambil ruang dan peluang ini untuk bekerjasama bersama Pusat Kaunseling UPSI.

Satu lawatan telah dijalankan oleh pihak MDTM ke Pusat Kaunseling pada 25 Mac lalu untuk mengadakan perbincangan lanjut berkenaan bentuk kolaborasi dan jalinan kerjasama yang dapat dijalankan. Lawatan ini telah dihadiri oleh beberapa wakil yang terdiri daripada kakitangan MDTM dan telah disambut oleh Pengarah Pusat Kaunseling, Dr. Pau Kee.

Sesi pembentangan oleh Pengarah Pusat Kaunseling

Lawatan ini bertujuan untuk merancang hubungan kerjasama berkaitan kesihatan mental kakitangan MDTM bersama pihak Pusat Kaunseling UPSI. Kesihatan mental melibatkan kakitangan amat penting dalam memastikan produktiviti serta amalan kerja yang sihat dan ceria. Lawatan ini juga berperanan dalam merancang serta merangka perjanjian jangka masa panjang antara pihak UPSI bersama MDTM dalam pelaksanaan program-program bukan sahaja berfokuskan kepada kesihatan mental, malah turut melibatkan aspek lain. Melalui kerjasama yang terbentuk ini diharapkan agar perkongsian tenaga pakar dalam kalangan warga UPSI dapat dirancang bersama pihak MDTM. Perkongsian tenaga pakar ini bukan sahaja dapat melancarkan program-program yang bakal dirangka pada masa akan datang, malah dapat meningkatkan penglibatan pihak UPSI bersama komuniti setempat.

Sesi lawatan tapak ke Pusat Kaunseling UPSI

Lawatan selama satu hari ini merangkum pelbagai aspek yang dicadangkan untuk perjanjian kerjasama yang bakal dimeterai. Penerangan kepakaran Pusat Kaunseling oleh Pengarah Pusat Kaunseling kepada pihak MDTM telah memberikan pencerahan lebih lanjut berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak UPSI terutama Pusat Kaunseling. Perbincangan lebih mendalam tentang Langkah dan perkara yang perlu ditekankan untuk memeterai perjanjian kerjasama antara pihak UPSI dan MDTM. Perancangan yang teliti ini bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat kebaikan semaksimum yang mungkin serta berlaku adil. Kesempatan ini juga diberikan kepada pihak MDTM untuk melawat sekitar kawasan UPSI dan ruangan -ruangan dibawah seliaan Pusat Kaunseling.

Hasil daripada lawatan ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai perjanjian kerjasama mengenai program kesihatan mental kakitangan MDTM. Kedua-kedua pihak bersetuju untuk menjalinkan hubungan kerja berkaitan gerak kerja profesional.