oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri

Tanjong Malim– Bulan Ramadan merupakan bulan yang mengajak kita untuk melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan perkara yang buruk. Dalam bulan yang mulia ini juga,  pelbagai kesempatan, ruang dan peluang boleh diambil oleh semua pihak untuk mula melakukan sesuatu yang baharu. Antaranya, mula mengamalkan diet yang sihat dan seimbang, tidur secukupnya dan melakukan ibadah sunat dengan lebih kerap. Di bulan ini jugalah seharusnya dimanfaatkan oleh mereka yang merupakan perokok tegar untuk mula mengurangkan tabiat mereka itu. Merokok bukan sahaja akan membatalkan amalan puasa disiang hari, malah mendatangkan pelbagai keburukan yang mampu membahayakan kesihatan.

Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Psychological First Aid (PFA), UPSI telah menganjurkan sebuah program advokasi kesihatan yang berfokuskan kepada bahaya merokok pada 29 Mac lalu secara atas talian.

Sesi perkongsian oleh Pegawai Psikatrik Ketagihan, Jabatan Psikatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohd Fadzli Mohamad Isa selama dua jam ini telah memberikan pelbagai tips dan cara yang dapat digunakan oleh perokok untuk berusaha berhenti merokok. Tujuan pelaksanaan program ini turut tertumpu kearah memberikan input dan pengetahuan mengenai kesan merokok kepada pelajar UPSI, serta berkongsi keburukan amalam merokok dalam kalangan masyarakat. Perbuatan merokok sering kali dianggap ‘cool’ oleh kebanyakan pelajar tidak kira sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti.  Walau bagaimanapun, perbuatan ini bukan sahaja akan membahayakan kesihatan diri, malah melibatkan orang di sekeliling. Kesedaran tentang kepentingan untuk menghindari diri daripada terjebak dengan ketagihan merokok perlu diperluaskan terutama di bulan Ramadan ini.

Program ini bukan sahaja melibatkan pelajar UPSI, malah turut melibatkan pihak luar yang boleh ditonton secara langsung menerusi akaun Facebook Pusat Kaunseling. Sesi perkongsian oleh Dr Fadzli telah memaparkan pelbagai tips yang berguna yang boleh diamalkan serta diaplikasikan oleh mereka yang merokok untuk cuba berhenti melakukan amalan tersebut. Antara tips yang telah dikongsikan oleh Dr Fadzli ialah, 10M (mandi, melengah-lengahkan dan melakukan sesuatu). Teknik ini dilihat berguna kepada mereka yang mempunyai niat untuk berhenti daripada mengamalkan tabiat merokok ini.

Program ini berjaya memberikan ilmu dan pengetahuan baharu kepada peserta yang menyertai program ini. Sesi perkongsian yang padat dan sarat dengan pengetahuan ini seharusnya dilaksanakan dengan lebih kerap untuk memberikan pencerahan serta informasi yang berguna untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)