Oleh: Aida Najwa Zahidan

Cheras – Insiden atau kes berkaitan kesihatan mental bukan sahaja melanda orang dewasa, malah telah mula didengar dan dialami oleh kanak-kanak seawal di peringkat sekolah rendah. Bagi menangani masalah ini, Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan jelajah ke sekolah-sekolah di sekitar Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk memberikan kesedaran berkenaan penjagaan kesihatan mental terutama dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

Dalam siri yang pertama ini, Pusat Kaunseling telah ke SK Alam Damai Cheras, Selangor. Jelajah ini telah disambut baik oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Alam Damai Cheras bagi menjayakan program ini bersama.

Program jelajah ini bertujuan memberikan input serta pengetahuan kepada murid-murid yang terlibat mengenai kepentingan untuk menjaga kesihatan mental. Pada zaman yang kian mencabar ini, kanak- kanak turut terdedah dengan masalah yang mampu mengganggu perkembangan minda mereka. Masalah yang dihadapi di sekolah berpotensi untuk menyebabkan seseorang murid untuk mengalami gangguan mental jika tidak diberikan perhatian dan dirawat dengan betul.

Dalam masa yang sama, program ini dapat memberikan kesedaran mengenai bahaya buli dan cara untuk menanganinya. Kes buli di sekolah sering kali menjadi satu senario yang tidak asing bagi mana-mana sekolah. Sama ada ia berlaku secara terang-terangan atau berlaku di luar waktu sekolah, ia tetap berlaku jika tidak dibendung. Selain itu, gangguan seksual dalam kalangan murid juga berkemungkinan berlaku, oleh itu program ini juga menekankan tentang input mengenai gangguan seksual dan cara untuk menanganinya.

Sesi Ceramah mengenai kesihatan mental oleh Dr. Pau Kee
Sesi ceramah mengenai jauhi buli dan gangguan seksual oleh Ahmad Shazwi

Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr Pau Kee berpendapat bahawa, menjaga kesejahteraan emosi dan mental bukan sahaja untuk orang dewasa, tetapi termasuk kanak-kanak di peringkat sekolah rendah. Mempelajari cara mengesan tanda-tanda stres dan tip-tip mengurus tekanan diri dapat memperkasakan daya tindak dan daya tahan kanak-kanak dalam menghadapi cabaran harian. Justeru, isu-isu seperti buli dan gangguan seksual merupakan salah satu punca yang mengancam kesejahteraan mental kanak-kanak turut dapat dicegah dari awal dengan adanya latihan dan program yang dianjurkan di sekolah.

Penglibatan lebih 400 orang murid SK Alam Damai Cheras melibatkan murid tahun 5 dan 6 telah berjaya dilaksanakan mengikut perancangan yang dirancang. Kedatangan Pusat Kaunseling UPSI telah disambut baik oleh Guru Besar SK Alam Damai, Pn Eleena Haslin. Dalam siri jelajah ini, perkongsian yang berfokuskan kepada tiga aspek iaitu isu buli, gangguan seksual dan juga penjagaan kesihatan mental telah dilaksanakan dalam bentuk yang berlainan dan menarik sesuai dengan murid-murid sekolah rendah. Sesi perkongsian telah dibahagi kepada beberapa slot yang masing-masing dikendalikan oleh Dr Pau Kee dan Ahmad Shazwi Ahmad Shukri. Dalam sesi perkongsian ini, para kaunselor yang bertauliah telah memberi perkongsian mengenai cara dan kaedah yang perlu dilakukan untuk menangani masalah yang dihadapi.

Bukan itu sahaja, lawatan ke bas pameran Pendidikan oleh pihak pentadbir SK Alam Damai dan juga pelajar diiringi Dr Pau Kee. Dalam pameran yang dijalankan menggunakan bas pameran UPSI ini, pelbagai informasi dan aktiviti telah dijalankan. Bukan itu sahaja, permainan VR (Virtual Reality) dapat dirasai oleh murid-murid yang menyertai. Bentuk-bentuk perkongsian seperti ini bukan sahaja menarik minat murid-murid untuk mendengar malah dapat terlibat secara langsung dan aktif dalam aktiviti yang dijalankan. Hasilnya, murid dapat mengetahui cara menjaga kesihatan mental terutamanya di alam persekolahan. Murid juga dapat mengenali jenis buli dan kepentingan menjauhnya dan juga mengenali jenis gangguan seksual dan bagaimana untuk mengatasinya daripada terjadi. Diharapkan agar program seperti in dapat dijalankan dengan jayanya pada masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)