Oleh: Profesor Dr. Khoo Yin Yin
Menonton siri kartun memang satu perkara yang menghibur hati orang ramai. Tidak dapat dinafikan, dari Mickey Mouse di Walt Disney, Doraemon dari Jepun sampailah Upin dan Ipin di Malaysia, kita selalu beranggapan bahawa kartun ialah hiburan yang digemari khasnya kanak-kanak. Namun, penyelidik luar negara sekian lama menggunakan kartun dalam pengajaran Sains lebih daripada satu dekad.
Pastinya wujud keraguan ibu bapa mahupun masyarakat akan kemampuan kaedah pembelajaran yang berasaskan kartun. Sejauh mana kaedah ini dapat membantu pelajar dalam pelajaran? Keraguan ini mudah difahami kerana sebahagian daripada kita sudah dibiasakan dengan watak kartun yang lucu, unik dan bersifat jenaka. Hal ini menyebabkan terdapat tanggapan bahawa menonton kartun hanya setakat untuk menghiburkan hati penonton.
Hakikatnya, pengajaran yang menggunakan kartun yang digabungkan dengan konsep asas digelar sebagai konsep kartun. Konsep kartun boleh diwujudkan dalam bentuk bahan bercetak atau video animasi. Kaedah konsep kartun ini amat popular dalam mata pelajaran Sains yang mempunyai konsep yang sukar difahami seperti Fizik, Biologi dan Kimia. Kajian juga menunjukkan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kartun bukan sahaja senang menimbulkan minat pelajar bahkan dapat menghasilkan pemikiran kritis mereka.
Kaedah pembelajaran begini perlu dilihat sebagai satu kaedah pembelajaran bentuk inovasi. Penggunaan perbagai media dan bahan ialah teknik pembelajaran yang popular selaras dengan pembelajaran abad ke-21 ini. Jadi, tidak hairanlah kajian tentang konsep kartun juga dikembangkan kepada bidang sains kemasyarakatan sejak kebelakangan ini. Salah satu bidang sains kemasyarakatan yang sesuai menggunakan konsep kartun ialah Ekonomi.
Sebenarnya, konsep kartun sesuai digunakan di mana-mana mata pelajaran yang mempunyai konsep asas yang sukar difahami. Konsep kartun yang berbentuk animasi dengan jalan cerita yang berkait rapat dengan kehidupan harian pelajar dan budaya tempatan adalah amat sesuai digunakan sebagai kaedah pembelajaran zaman teknologi ini.
Lebih-lebih lagi, masa pandemik yang banyak melaksanakan pembelajaran secara maya atau hybrid di alam persekolahan. Mungkin para pendidik akan tertanya-tanya, berapa banyak masa yang diperlukan untuk menyiapkan konsep kartun sebelum diaplikasi dalam pengajaran? Sebenarnya kaedah ini dapat dilaksanakan dalam beberapa cara.
Persediaan Konsep Kartun
Gambar kartun – para pendidik boleh mendapatkan gambar kartun dari internet, buku, surat khabar atau majalah kemudian mencipta dialog yang sesuai di tepi kartun.
Melukis kartun – guru boleh meminta pelajar melukis kartun dalam kumpulan selepas mengajar sesuatu konsep tertentu. Tugasan ini boleh digunakan sebagai projek kumpulan atau penaksiran dalam bilik darjah.
Kartun animasi – cara terakhir yang melibatkan proses yang lebih rumit, guru boleh menghasilkan konsep kartun bersiri dalam bentuk video animasi. Guru perlu merancang dan menghasilkan konsep kartun yang berkait dengan topik atau konsep yang diajar. Menulis skrip, membentuk watak, membuat video dan menambahkan elemen animasi merupakan langkah-langkah yang diperlukan. Walau bagaimanapun, pada zaman digital ini, banyak aplikasi boleh digunakan dengan senang untuk membentuk watak animasi dan menghasilkan video. Jadi menghasilkan konsep kartun berbentuk animasi bukanlah satu perkara yang mustahil.
Strategi Pembelajaran Kendiri
Apabila seseorang pelajar memperolehi pengetahuan baru dengan cara sendiri dipanggil pembelajaran kendiri. Dengan perkembangan teknologi semasa, pembelajaran kendiri merupakan salah satu strategi yang patut dilaksanakan. Lebih-lebih lagi, banyak sekolah mengamalkan pembelajaran hybrid pada masa pandemik ini, adalah wajar pelajar mengamalkan strategi ini untuk memingkatkan pemahaman tentang kandungan buku dan menjana idea melalui perbincangan dengan kawan.
Walau bagaimanapun, strategi ini hanya akan berkembang dengan bimbingan guru dan pemantauan daripada ibu bapa. Pelajar selalu berada di rumah sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran di rumah, justeru, pemantauan dari ahli keluarga adalah amat penting untuk menggelakkan pelajar membuang masa untuk menjalankan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pembelajaran.
Pelajar Mencipta Kartun atau Avatar Sendiri
Sebenarnya dalam persekitaran pembelajaran digital ini, ramai pelajar yang sekolah menengah mahupun sekolah rendah pandai menggunakan aplikasi di peranti mobile. Adalah wajar, minta pelajar menghasilkan avartar sendiri dan menulis jalan cerita dan dialog yang berkaitan dngan konsep yang dipelajari.
Jika pelajar dapat menulis dialog bagi avartar atau kartun yang dicipta, bermakna pelajar itu sudah betul-betul memahami konsep yang diajar. Di dalam proses pembelajaran, pelajar ini sudah dapat memahami maklumat, mengaplikasi dan mencipta yang baharu. Kemudian, pelajar boleh membuat perbandingan avartar/ kartun dengan kawan-kawan dan saling menanya soalan, maka timbullah pemikiran kritis mereka.
Sebenarnya, banyak cara pembelajaran yang boleh kita laksanakan untuk mencungkil pemikiran pelajar. Walau bagaimanapun, kejayaan melaksanakan sesuatu kaedah adalah bergantung kepada usaha guru dan penglibatan pelajar. Jika salah satu pihak kurang memainkan peranan, misalnya guru tidak memberi bimbingan yang sewajar kepada pelajar atau pelajar kurang melibatkan diri, maka ia juga tidak mendatangkan hasil.