Thailand, 29 April 2024- Delegasi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terbang ke selatan Thailand pada 29 April hingga 1 Mei lalu sebagai salah satu rangka usaha memperluaskan jaringan kerjasama dengan beberapa badan pendidikan utama di sana. Delegasi ini diketuai oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Profesor Madya Dr. Mahizer Hamzah. Turut serta tujuh delegasi lain yang terdiri daripada wakil-wakil dari pelbagai fakulti dan jabatan di UPSI termasuk Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Institut Pengajian Siswazah (IPS), Pusat Ulul Albab, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengunjungi tiga badan berkaitan pendidikan di Thailand, iaitu Pejabat Pentadbiran Pattani, Universiti Fatoni, dan Yayasan Assalam bagi mempromosikan berkaitan program-program pengajian yang ditawarkan di UPSI terutamanya yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat Thailand seperti Pendidikan Islam, Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Pendidikan Sains dan Matematik, Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan program-program prasiswazah serta pasca siswazah yang lain. Selain itu, ia turut membincangkan usaha sama bagi memperkukuhkan kerjasama antara UPSI dan institusi pendidikan di Thailand melalui peluang-peluang yang ada sama ada dari segi kemasukan mahasiswa atau latihan pensijilan profesional.

Sesi Pertemuan dengan Yang Dipertua Pejabat Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Tuan Syed Nasir Al-Jufri

Hari pertama lawatan bermula dengan kunjungan ke Pejabat Pentadbiran Pattani. Rombongan disambut oleh Pengarah Pendidikan, Suree Saniputri serta beberapa pegawai pentadbiran yang lain. Perbincangan dua hala dipengerusikan oleh Yang Dipertua Pejabat Pentadbiran Pattani, Tuan Syed Nasir Al-Jufri. Tuan Syed berkata “kami ingin mencadangkan jalinan kerjasama dengan beberapa badan pengurusan pendidikan di Thailand bagi mematuhi saluran perundangan yang betul seperti yang diamalkan di negara tersebut. Namun begitu, pejabat ini menyokong sebarang usahasama yang baik terutamanya apabila melibatkan hal-hal pendidikan dan pembangunan profesionalisme masyarakat Thailand”.

Delegasi UPSI dengan Wakil Pengurusan Universiti Fatoni

Seterusnya, rombongan ini telah melawat ke Universiti Fatoni yang disambut oleh Timbalan Rektor Hubungan dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Umar Chopakya. Pelbagai topik dikongsikan bersama dalam bidang akademik dan kerjasama penawaran pengajian antara kedua-dua pihak. Pihak Universiti Fatoni menyambut baik usaha UPSI memperluaskan penawaran pengajian pasca siswazah kepada pensyarah dan guru-guru di wilayah tersebut. Lawatan ke universiti ini juga diselaraskan oleh Timbalan Rektor Akademik, Profesor Madya Dr. Shakree yang juga merangkap Ketua Alumni Mahasiswa UPSI di Thailand. Pada akhir lawatan, ahli rombongan diperkenalkan dengan sebuah bangunan wakaf,  Bangunan Quran dan Sunnah yang disumbangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.

Sesi lawatan sekitar Sekolah Salihiah

Lawatan terakhir seterusnya bertumpu ke Sekolah Salihiah sebagai pusat pengurusan Yayasan Assalam bagi sesi yang sedang berkuat kuasa. Dalam tempoh masa satu jam perjalanan dari penginapan, delegasi disambut mesra oleh Pengerusi Yayasan Assalam, Dr. Abdullah Yeelah yang juga dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Assalam, Dr. Faisal Asae, Presiden Sekolah Swasta Thailand, Dr Waedao Waeduere dan wakil-wakil dari sekolah swasta selatan Thailand.   Dalam perbincangan tersebut, Dr. Faisal Asae mencadangkan supaya satu MoU/MoA diadakan diantara dua pihak bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dua pihak dalam hal-hal berkaitan penawaran program, latihan mengajar, isu berkaitan pengiktirafan program di Thailand dan pembangunan kurikulum bagi sekolah swasta di selatan Thailand.

Secara keseluruhannya, setiap organisasi yang dilawati menyambut rombongan dengan penuh mesra sambil menjanjikan hubungan baik dan kerjasama erat diteruskan pada masa hadapan. Menjadi harapan UPSI dan Pusat Ulul Albab selaku penyelaras rombongan ini, lawatan ini dapat memperkenalkan UPSI ke sebahagian besar masyarakat dan guru-guru dan pelajar-pelajar Thailand serta meningkatkan jumlah kemasukan mahasiswa pra dan pasca siswazah, serta mencadangkan pembangunan program-program pengajian yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat dan pengamal pendidikan di Thailand.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)