Oleh: Mukhlisa Aima Hisham Afandi

TANJONG MALIM, PERAK – Seramai 40 sukarelawan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan ‘Classroom For Heroes: Meta Volunteerism’ yang memberi pendekatan baharu dalam dunia sukarelawan melalui modul dan latihan yang disediakan. Program yang berlangsung pada 4 dan 5 Mei bertempat di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI dan Kampung Orang Asli Serendah, Selangor.

Pengarah Program, Muhammad Iman Muhamat Noh bersama penasihat, Hazman Yaakob menekankan kepentingan kemahiran kesukarelawanan digital sebagai sebuah inisiatif baharu dalam membantu komuniti mencapai asas kemahiran siber khususnya melalui sibergogi, selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia untuk memacu negara mencapai revolusi industri 5.0.

“Kami melihat bahawa skop sukarelawan perlu lebih diperhalusi dengan memberi galakan dan pendedahan kepada sukarelawan itu sendiri tentang apa yang mereka dapatkan dari aktiviti sukarelawan. Ia tidak hanya tentang memberi, tetapi mereka juga akan faham nilai berkongsi dan manfaat yang dirasakan bersama,” katanya.

Kali ini, KHAR berkolaborasi dengan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Pusat Kaunseling UPSI, Psychological First Aid Team UPSI, YOSH MyFundAction dan mendapat sumbangan barangan makanan keperluan asas daripada Foodpanda Malaysia.  

Program ini padat dengan membawa pengisian seperti Digital Volunteerism yang berfokuskan kepada perlindungan siber, teknik pertolongan awal psikologi, aktiviti menggunakan modul teknologi daripada CyberSecurity Malaysia dan CyberSafe Malaysia bersama kanak-kanak komuniti orang asli.

Sementara itu, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah menyatakan bahawa program kesukarelawanan digital ini perlu giat dijalankan agar tiada golongan yang tercicir dalam arus modenisasi.

“Kesukarelawanan digital menjadi bersama dalam memastikan ilmu teknologi disampaikan kepada semua lapisan masyarakat. UPSI sebagai Universiti Peneraju Kebitaraan Pendidikan pastinya akan sentiasa menyokong pembangunan insaniah mahasiswa dalam melestarikan budaya pekerta dan empati dalam mewujudkan masyarakat harmoni dan penuh dengan nilai positif,” ujarnya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)