Oleh: Zulaikha Abdullah

Muar- Kegiatan mencari tiram secara tradisional tanpa menggunakan sebarang peralatan menyelam moden adalah sumber ekonomi penduduk kampung di Sungai Muar, Johor dan diusahakan sejak lebih 100 tahun lalu sehingga ke hari ini.

Kapt (B) Hj Jelani Hj Laham sedang menunjukkan cara-cara menjahit sangkar tiram

Sekumpulan Pelajar Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  yang terdiri daripada sembilan orang pelajar ,pengetua  dan tiga orang felo telah dijemput oleh Kapt (B) Hj Jelani Hj Laham, yang merupakan Pengurus Syarikat Samin Laham Sdn. Bhd. merupakan ivdividu yang bertanggungjawab mencetuskan idea menternak tiram putih sungai Muar menggunakan sangkar. Idea menternak tiram ini timbul apabila beliau melihat sejak kebelakangan ini, bilangan pencari tiram ini berkurangan kerana ramai yang sudah berusia dan tidak mampu lagi bekerja selain ada yang sudah meninggal dunia.

Kerja-kerja Pembersihan Tiram teritip yang melekat pada kulit tiram satu persatu secara manual selain mencuci jaring sangkar 

Peserta dari UPSI berpeluang mempelajari teknik membuat sangkar bermula daripada mengenali jenis bahan yang digunakan iaitu High-Density-Polyethylene-Netting (HDPE),  mengikat dan menjahit sehingga menjadi sangkar yang berkualiti. Peserta juga di ajar menternak tiram putih bermula daripada mengenali cara memelihara benih tiram yang amat sensitif. Selain daripada itu, perkara paling utama juga ialah memastikan kualiti air tidak tercemar kerana haiwan itu memakan plankton yang hidup di dalam air secara semula jadi.

Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Prof. Madya Ts. Dr Che Ghani Che Kob berkata, “saya kagum dengan usaha penternakan tiram menggunakan sangkar bagi tujuan untuk membantu anak kampung untuk belajar dan menjana ekonomi,” katanya.

Dalam tempoh tahun pertama, banyak kepada aktiviti memantau keadaan benih tiram yang dibeli daripada penjual dari Muar dan juga kualiti air bagi memastikan projek ini berjaya. Menurut Kapt (B) Hj Jelani “Saya sasarkan untuk mempunyai antara 30,000 hingga 50,000 tiram yang matang dalam tempoh tiga bulan bukan sahaja untuk dipasarkan di Muar malah di negeri lain,” katanya lagi menyedari keunikan tiram di kawasan itu, beliau akan membangunkan sebuah pusat berasaskan eko-pelancongan dalam masa terdekat.

Penasihat program Nor Hayati Aziz berkata, program sebegini dapat mengasah dan menyerlahkan bakat serta idea baru dalam kalangan mahasiswa bagi menghasilkan inovasi kreatif yang dapat membantu masa depan pencari tiram di Sungai Muar.

Peserta sedang menurunkan sangkar yang mengandungi benih tiram putih

Peserta UPSI berjaya mengikat dan menyiapkan 25 unit sangkar tiram sepanjang tempoh dua hari, dan mereka juga teruja kerana dapat menikmati masakan tiram putih yang enak. Pengalaman ini akan digunakan untuk berkongsi dengan masyarakat Aceh dalam salah satu aktiviti program Empire Journey 4.0 di Aceh, Indonesia.