Oleh: Aida Najwa Zahidan & Najidah Yahya

Tanjong MalimVolunteerism atau kesukarelawanan merupakan satu aktiviti yang giat dijalankan dikebanyakan institusi sama ada di peringkat sekolah, universiti mahupun agensi kerajaan dan swasta. Aktiviti ini banyak memberi pengajaran dan manfaat bukan sahaja kepada mereka yang dibantu, malah individu yang menjalankan sukarelawan terbabit. Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Preloved Shoppe UPSI telah berjaya mengadakan projek kesukarelawanan peringkat komuniti.

Jika sebelum ini melibatkan pihak universiti, kali ini Pusat Kaunseling bergerak maju kehadapan dengan mengadakan program ini. Dalam masa yang sama, program seperti ini dapat mempromosikan UPSI sebagai pusat pendidikan yang melahirkan sukarelawan di peringkat komuniti.

Melalui program Projek Kesukarelawanan Komuniti siri 2-Projek Kotak Rezeki Ibu Tunggal telah diadakan di pusat Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur pada 5 Mei lalu. Program kesukarelawanan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa yang terlibat untuk melatih membina hubungan dan memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat setempat. Perkara ini melahirkan rasa prihatin dalam kalangan mahasiswa untuk lebih cakna tentang keadaan masyarakat disekeliling mereka. Aktiviti bersama ibu tunggal kurang malahan jarang sekali dijadikan sebagai destinasi pilihan untuk menjalankan aktiviti bersama mereka. Oleh yang demikian, Pusat Kaunseling mengambil inisiatif ini untuk melakukan sesuatu yang berlainan.

Mahasiswa yang terlibat juga dapat mewujudkan persekitaran dan suasana yang gembira dan ceria dalam menjalinkan hubungan silaturahim antara mahasiswa sukarelawan dengan komuniti yang dipilih iaitu golongan ibu-ibu tunggal. Dalam aktiviti yang dijalankan, mahasiswa telah bersama-sama mencantikkan serta menceriakan laman kawasan pusat persatuan tersebut supaya lebih ceria dan menarik. Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan kepekaan dan keprihatinan mahasiswa sukarelawan terhadap golongan masyarakat yang memerlukan. Keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan ini tidaklah hanya berbentuk kewangan semata-mata, dari sudut emosi juga perlu diambil kira kerana ia merupakan faktor terbesar kepada mereka untuk kekal tabah dalam menghadapi ujian kehidupan. Apabila mahasiswa sukarelawan ini melaksanakan aktiviti bersama golongan ibu tunggal ini, sedikit sebanyak menghadirkan rasa gembira dalam diri mereka.

Pemberian sumbangan berbentuk kotak pakaian dan barang dapur kepada ibu-ibu tunggal

Program ini dapat memberi pendedahan berkaitan aktiviti kesukarelawanan yang melibatkan masyarakat setempat. Ia juga dapat meningkatkan kesedaran ahli sukarelawan untuk menjadi lebih cakna terhadap komuniti ibu-ibu tunggal. Bukan itu sahaja, aktiviti sukarelawan kemasyarakatan mampu memberikan kesan dan semangat kesukarelawanan yang lebih bermakna apabila setiap ahli berpeluang menghulurkan bantuan sama ada dari segi tenaga, masa dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan. Malahan, setiap ahli sukarelawan juga dapat mengeratkan lagi jalinan hubungan dengan masyarakat setempat. Adalah diharapkan agar program seperti ini dapat dipergiat dengan lebih banyak bagi memberi peluang dan ruang untuk masyarakat berkhidmat terhadap golongan yang memerlukan.