Oleh: Fajrul Solehien
15 Mei 2024

Tanjong Malim: Delegasi pelajar pascasizwazah dari Universitas Riau(UNRI) telah mengadakan lawatan ke Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bertempat di Bilik Mesyuarat Ibnu Khaldun, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI.

Delegasi ini terdiri daripada 24 orang pelajar dan dua orang pensyarah dari UNRI, sebuah universiti yang terletak di Pekan Baru, Riau, Indonesia, yang menawarkan pelbagai program pengajian termasuk peringkat doktor falsafah dalam bidang sains sosial.

Objektif utama lawatan ini adalah untuk membina kerjasama antara kedua-dua fakulti dan mewujudkan jaringan penerbitan, penyelidikan, dan akademik yang lebih kukuh. Antara tujuan spesifik lawatan ini adalah untuk memahami proses dan pencapaian FSK dan UPSI diperingkat global serta perkongsian maklumat antara FSK UPSI dan pelajar Program Pascasiswazah Magister Administrasi UNRI.

Lawatan ini membuka ruang kolaborasi antara pelajar Pascasiswazah dalam penulisan bersama dalam pelbagai bidang akademik yang membolehkan wakil kedua-dua universiti berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka, disamping pelajar UNRI diberi peluang untuk menyumbangkan artikel bagi pembentangan dalam persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh FSK, UPSI.

Tambahan lagi, kunjungan ini juga memberi peluang kepada FSK untuk melaksanakan program mobiliti pelajar dan pensyarah ke UNRI serta memperkukuhkan perkongsian program antara kedua-dua fakulti.

Kesimpulannya, UPSI telah berjaya membuka jaringan kolaborasi akademik, penyelidikan, penerbitan, dan penulisan bersama antara kedua-dua fakulti. Perkongsian ilmu ini selari dengan Konsep BITARA – Adaptasi Global, sekaligus memperkenalkan FSK ke arena antarabangsa.

Dengan ini, diharapkan hubungan yang terjalin akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dalam usaha memperkasakan pendidikan tinggi dan penyelidikan yang berkualiti.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)