Oleh: Nur Syafiqah Shafiron (Pelajar Latihan Industri)
15 Mei 2024
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Institut Peradaban Melayu (IPM) menganjurkan Program Rabu Qalbu: Zakat VS Cukai Pendapatan yang diadakan pada 15 mei bertempat di Bilik Diraja, Muzium Pendidikan Nasional (UPSI).
Objektif pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan tentang perbezaan zakat dan cukai pendapatan kepada ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTj) dan semua staf UPSI serta menjadi salah satu pengisian slot Rabu Qalbu.
Program Rabu Qalbu anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI bermula dengan ucapan aluan oleh Timbalan Pendaftar dari pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sadaqah (WEZAS) iaitu Encik Nurul Anuar Jamasan. Dalam ucapan aluannya menyatakan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai amil zakat pada tahun 2005.
Tambah beliau lagi, lantikan ini melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Universiti Pendidikan sultan Idris dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 19 Disember 2005.
Wakil dari pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) En. Ariff Fikri, memulakan perkongsian beliau dengan menerangkan konsep zakat dan pendapatan. Menurutnya, ramai antara kita selama ini keliru sama ada zakat pendapatan atau gaji yang diperoleh setiap bulan wajib dikenakan zakat ataupun tidak.
Bagaimanapun, berdasarkan keputusan fatwa di peringkat kebangsaan, zakat pendapatan adalah wajib dikenakan tetapi pelaksanaannya adalah berbeza bagi setiap negeri berdasarkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing.
Lantaran itu, beliau juga turut menegaskan bahawa adalah menjadi kewajipan sebagai seorang muslim yang beriman untuk menunaikan zakat pendapatan pada setiap tahun jika seseorang itu memenuhi syarat wajib malah hal ini menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Menjelaskan lagi tentang kekeliruan ini, Ariff Fikri berkata, gaji bulanan dianggap sebagai sebahagian daripada harta perolehan yang tertakluk kepada zakat sebagaimana kewajipan zakat ke atas harta-harta lain yang berbentuk emas, perak hasil pertanian, penternakan, perniagaan dan sebagainya.
Beliau menyatakan, harta yang statik apabila cukup nisab dan haulnya perlu dikeluarkan untuk tujuan zakat kerana zakat merupakan satu tiang terpenting dalam Islam. Manakala cukai pendapatan pula adalah hak kerajaan yang perlu dilunaskan oleh rakyat yang tertakluk di dalam prinsip bernegara.
Akhir sekali, diharapkan sistem pelaksanaan zakat di negara ini bertambah baik dari semasa ke semasa dalam memastikan proses kutipan dan pengagihan dapat dilaksanakan secara efisien. Semoga dengan pelaksanaan program ini dapat memenuhi objektif dan matlamat yang ingin dicapai.