Oleh: Abbas Ali Iftikhar Hussain
Bagan Datuk: Seramai 40 orang mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program Jalinan Integrasi Baktisiswa KHAR bersama 13 buah keluarga di sekitar perkampungan Bagan Datuk, Perak, sehari selepas meraikan Hari Guru.
Pengarah program, Muhammad Yazid Junaidi berkata, inisiatif ini dilakukan sebagai tanggungjawab khidmat sosial mahasiswa kepada masyarakat sekali gus memberi pengalaman berharga sebagai ‘anak angkat’ dan mempelajari kehidupan penduduk kampung setempat yang tersendiri.
“Penghayatan nilai tradisi dan budaya tempatan dapat menggalakkan lagi sifat keterbukaan dan inklusif generasi muda dalam meneroka kepelbagaian budaya. Program Baktisiswa memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang holistik serta memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti luar bandar dalam menerajui kebitaraan pendidikan,” kata Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj Che Anuar Che Abdullah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, YB Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahya menzahirkan rasa gembira pada majlis perasmian apabila melihat ukhwah yang dibina antara mahasiswa dan penduduk kampung yang merupakan objektif pelaksanaan program baktisiswa dalam menyahut aspirasi siswa madani. Beliau berharap agar banyak lagi program sedemikian dapat dilaksanakan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai belia di Bagan Datuk.
Pelbagai aktiviti dirangka dan variasi slot menarik telah direncana, seperti slot motivasi kepada anak-anak keluarga angkat yang telah menyemarakkan keyakinan diri dalam mencapai kejayaan. Aktiviti Gotong-royong membersihkan Masjid Tuminah Hamidi juga telah disertai pelbagai pihak dalam memastikan kebersihan masjid sentiasa bersih bagi mewujudkan ruang ibadat yang selesa kepada jemaah masjid.
Program ini juga melibatkan aktiviti sukan rakyat seperti lari dalam guni, tiup tepung, belon air, tarik tali dan lain-lain. Pengajuran aktiviti ini telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara anak angkat bersama keluarga mereka.
Ketua-ketua kampung menzahirkan rasa gembira terhadap hubungan yang sangat akrab antara mahasiswa dengan keluarga angkat masing-masing. Masa yang diluangkan bagi mengenali dan membantu keluarga dalam menjalani rutin harian mereka dipercayai menjadi titik permulaan kepada persaudaraan yang baharu kepada keluarga dan mahasiswa.