Tanjong Malim: Seramai 70 orang mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) bersama-sama empat orang pensyarah telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke UPSI Edu-Forest.
Kunjungan ini adalah bertujuan untuk menjadikan UPSI Edu-Forest sebagai lokasi kerja lapangan kekal setiap tahun bagi pelajar Farmasi UniKL di samping mendedahkan pelajar dengan pelbagai jenis tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang terdapat dalam hutan serta kepentingan konservasi hutan.
Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, kepelbagaian sumber hutan memainkan peranan penting dalam bidang perubatan farmasi. Di dalam hutan, terdapat pelbagai tumbuhan dan mikroorganisma yang mengandungi bahan-bahan bioaktif yang boleh digunakan dalam pembangunan ubat-ubatan baru.
“Selain itu, lawatan ini juga memberi peluang kepada pelajar dalam menghargai kepelbagaian flora dan fauna serta merasai sendiri keindahan dan ketenangan di persekitaran hutan simpan. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Centre of Biodiversity and Conservation (CeBeC), Fakulti Sains dan Matematik” tambah beliau.
Ketua Jabatan Farmasi, Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan Unikl RCMP, Dr. Tengku Azlan Shah Tengku Mohamad berkata lawatan sambil belajar ke hutan simpan atau taman herba merupakan satu keperluan dalam mata pelajaran Pharmacognosy dalam Program Ijazah Sarjana Muda Farmasi di UniKL RCMP, Ipoh, Perak.
Kepelbagaian flora dan fauna hutan memberi peluang untuk menemui bahan-bahan semula jadi yang mempunyai potensi perubatan. Pelbagai penyelidikan farmaseutikal dilakukan dalam hutan untuk mengkaji potensi ubat-ubatan baru dan penggunaannya dalam merawat penyakit, ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata kunjungan penanda aras ke UPSI Edu-Forest ini dapat memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kelestarian hutan agar kita dapat terus mengeksplorasi dan memanfaatkan potensi farmaseutikal yang terdapat di dalamnya dan memperkayakan stok tumbuhan herba yang berpotensi dalam bidang perubatan tradisional dan moden.