Oleh: Siti Radiah binti Nor Rahimmi dan Liew En Xin
1 Jun 2024

Bota: Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) di bawah Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama rakan kolaborasi Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengambil inisiatif menyantuni komuniti Orang Asli khususnya murid sekolah rendah dalam memperkenalkan bidang STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) serta memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar melalui program EnvironQuest-EcoSTEM Outreach.

Program ini dilaksanakan dengan penglibatan 53 murid Orang Asli sekolah rendah tahun lima dan tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Suak Padi.

Aktiviti yang dijalankan pada sesi pagi berkonsepkan eksplorasi Sains bagi subtopik Jirim, Daya, Bentuk dan Sudut melibatkan lima stesen seperti stesen Marshmallow Spaghetti Tower, stesen Paper Plane Challenge, stesen 3 and Factor 3, stesen Bola Tiup dan stesen Animal Charade.

Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Puan Noor Zamzuria A., wakil Health Safety Environment, MESTI Fit 4 Health, mengenai Kepentingan Penjagaan Alam Sekitar dan Kitar Semula Bahan Buangan.

Aktiviti diteruskan dengan slot Hands-On STEM daripada PMS UPSI. Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah penghasilan Lava Lamp dan Mini Terrarium secara individu di mana murid dapat merasai pengalaman mengenai penggunaan bidang Sains dalam kehidupan sekeliling mereka.

Hands-on STEM (Lava Lamp) yang dikendalikan oleh PMS, UPSI

Gelembung berwarna-warni yang dihasilkan dalam reaksi Lava Lamp terapung ke permukaan minyak dan berkitar dalam botol menghasilkan kesan menarik dan cantik bersama penerangan teori reaksi tersebut oleh fasilitator supaya murid dapat memahaminya.

Dalam sesi penghasilan Terrarium, murid diminta bekerjasama menghasilkan satu Terrarium yang mengandungi beberapa lapisan yang mana murid berpeluang menambahkan batu, tanah, dan lumut serta menghias Terrarium mengikut kreativiti tersendiri di samping memupuk semangat berpasukan, kreativiti dan kemahiran komunikasi juga dipupuk semasa aktiviti tersebut.

Penghasilan Lava Lamp dan Mini Terrarium ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam bidang keusahawanan. Diharapkan perkongsian tersebut dapat merangsang pemikiran murid-murid bahawa STEM bukan sahaja menyeronokkan tetapi dapat diimplikasikan sebagai suatu perniagaan yang dapat menjana pendapatan.

Aktiviti Lava Lamp ini berdasarkan DSKP subjek Sains melalui subtopik dalam Unit tujuh Tahun tiga manakala Mini Terrarium merangkumi subjek Sains melalui Topik Kelestarian Alam Sekitar Tahun lima dalam Bab tiga.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana keperluan STEM semakin meningkat serta penting dalam merealisasi penekanan terhadap SDG empat: Quality Education dan SDG sepuluh: Reduced Inequalities dalam komuniti Orang Asli sejak peringkat sekolah rendah.

Yang Dipertua PMS, Cik Siti Radiah binti Nor Rahimmi menandatangani Rakan Kolaborasi bersama Guru Besar SK Suak Padi, Puan Nurhazlin binti Mohd Ali

Program seperti ini juga mampu memupuk minat terhadap ilmu pengetahuan sekaligus menyemai semangat inkuiri dan minat terhadap bidang STEM dalam diri murid-murid di samping memberi inspirasi kepada masyarakat supaya sumbangan lebih banyak dapat dihulurkan kepada program pendidikan STEM seperti ini.

Dengan itu, murid-murid khususnya yang berada di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan dan ketinggalan dalam era globalisasi kini, biarlah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti masyarakat luar yang kian maju ke menara gading.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)