Tanjong Malim: Seramai 35 mahasiswa dari Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Jiwa Baik: Sukaria-Relawan – Charity Explorace Hunt, dengan kerjasama 70 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dari beberapa kelab kluster sukarelawan, serta tiga orang wakil Muslim Volunteer Malaysia (MVM). Program dua hari ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara universiti dan badan bukan kerajaan (NGO), serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dan khidmat masyarakat.
Pengarah program Kelab Rakan Alam Sekitar UPSI, Muhammad Nor Hafizi Saleh menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan alam sekitar. Program ini memberikan pengalaman berharga kepada semua mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan.
“Melalui aktiviti seperti membersihkan rumah warga emas, memberi sokongan moral kepada golongan OKU dan memberikan sumbangan barang keperluan, para peserta bukan sahaja belajar tentang pentingnya membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga memahami kesan positif yang boleh mereka bawa kepada komuniti. Ini juga meningkatkan kesedaran mereka tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar dan mewujudkan hubungan yang lebih erat antara universiti, NGO, dan masyarakat setempat,” katanya.
Pengarah program dari Angkatan Mahasiswa Antirasuah, UUM, Muhammad Hariz Chakngari berkata selepas melaksanakan tugas di lokasi-lokasi khidmat masyarakat, peserta berkumpul di Teluk Senangin untuk mengikuti ceramah asas pertolongan cemas oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Manjung dan sesi perkongsian oleh wakil Muslim Volunteer Malaysia.
“Ceramah dan sesi perkongsian ini telah meningkatkan kesedaran keselamatan dan semangat sukarelawan dalam kalangan peserta, sambil memperkukuh pengetahuan mereka tentang langkah-langkah kecemasan yang penting semasa berprogram. Selain itu, pengalaman yang dikongsi oleh sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia telah memberi inspirasi kepada peserta untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dan menyumbang kepada masyarakat secara berterusan,” ujarnya.
Wakil Muslim Volunteer Malaysia, Muhammad Solihin Masri’alah menyatakan berkenaan nama program ‘Jiwa Baik,’ beliau mengharapkan kesemua peserta terus berjiwa baik dalam menjalankan kebajikan sosial seperti aktiviti yang dijalankan selama dua hari itu. Diharapkan peserta dapat terus menyumbang kepada masyarakat dengan ikhlas dan penuh dedikasi, menjadikan nilai-nilai murni ini sebagai sebahagian daripada diri mereka.
Tambahnya lagi, “kami memilih nama Sukaria-Relawan kerana dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, perlulah ada rasa keseronokan dan kemanisan semasa menjalankannya dengan rasa seikhlas hati ingin membantu golongan yang memerlukan. Hanya dengan semangat yang positif dan hati yang ikhlas, kita dapat memberikan impak yang bermakna kepada mereka yang dibantu.”
“Penggunaan nama Charity Explorace Hunt memberi maksud untuk mengajak kesemua peserta untuk berusaha terus menunjukkan kumpulan mana yang lebih bagus walaupun niat asalnya bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan, melainkan menambah semangat semua peserta untuk berlumba-lumba melakukan aktiviti sukarelawan pada tahap terbaik yang mereka mampu lakukan. Dengan cara ini, kita dapat memastikan setiap peserta memberi komitmen sepenuhnya dan menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan dan kegembiraan,” ujarnya lagi.
Penasihat Kelab Rakan Alam Sekitar UPSI, Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid menekankan pentingnya menjalankan aktiviti sukarelawan secara berkala. Baginya, ini penting untuk membentuk jati diri mahasiswa yang mampu memberi bantuan tanpa dipaksa.
“Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, atau angin ribut seringkali memberi kesan buruk kepada masyarakat setempat, dan pada waktu inilah semangat sukarelawan menjadi penting. Mahasiswa yang bersemangat akan sentiasa peka terhadap masalah sekeliling dan bersedia untuk memberi sokongan kepada mereka yang terkesan. Dengan demikian, negara Malaysia akan memiliki rakyat yang komited dalam budaya gotong-royong dan tolong-menolong, meningkatkan solidariti di kalangan masyarakat,” katanya.
Pada hari kedua program, semangat bergotong-royong terus berkobar di kalangan mahasiswa yang turut serta membersihkan pantai Teluk Senangin. Dengan penuh semangat, mereka bekerjasama untuk membersihkan pantai dari sisa-sisa sampah dan plastik serta memastikan kebersihan pantai itu dipelihara dengan baik. Ini adalah satu lagi contoh nyata bagaimana semangat kesukarelawanan dan gotong-royong dapat membawa perubahan positif kepada komuniti dan alam sekitar.
Pada hari kedua program, semangat bergotong-royong terus berkobar dalam kalangan mahasiswa yang turut serta membersihkan pantai Teluk Senangin. Dengan penuh semangat, mereka bekerjasama untuk membersihkan pantai dari sisa-sisa sampah dan plastik serta memastikan kebersihan pantai itu dipelihara dengan baik. Ini adalah satu lagi contoh nyata bagaimana semangat kesukarelawanan dan gotong-royong dapat membawa perubahan positif kepada komuniti dan alam sekitar.
UPSI akan terus komited melestarikan budaya cintakan alam sekitar melalui program-program sukarelawan yang berimpak tinggi untuk membentuk jati diri mahasiswa yang prihatin terhadap kehidupan indah flora dan fauna. Kerjasama pelbagai pihak memberi warna baru dalam keharmonian masyarakat menjaga dan memelihara ekosistem sekaligus menjadikan UPSI sebagai peneraju kecemerlangan pembentukan sukarelawan holistik selari dengan gagasan universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berjiwa besar dan tinggi nilai sahsiah diri.