Oleh: Aina Syazwina Zulfah Ahmad Shahiruddin

Tanjong Malim – Exco Blok Kediaman 3 Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Pentas Muda Profesional Madani yang bertempat di Bilik Seminar Pusat Pelajar, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah. Program yang dijayakan pada 1 Jun merupakan hasil kolaborasi bersama Kelab Sahabat Alumni Mahasiswa UPSI (SAM).

Program ini berkonsepkan pengucapan awam bebas yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah serta mahasiswa UPSI. Program yang dihiasi dengan input kuasai kemahiran melontarkan buah bicara di khalayak ramai ini telah bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Slogan yang berbunyi “serlahkan bakat, selangkah hebat” amat bertepatan dengan pelaksanaan program yang memerlukan peserta untuk menonjolkan kebolehan diri mereka dalam pertuturan.

Peserta sedang membuat pengucapan awam

Program ini bertujuan untuk membentuk keyakinan dan keterampilan diri berucap di khalayak ramai bermula dari bangku sekolah. Dalam masa yang sama, banyak bakat muda yang dapat dicungkil dan digilap sejak awal agar mampu dimanfaatkan sebagai bakal pewaris tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Berani bukanlah sesuatu yang lahir secara semula jadi tetapi perlu diasah dan dicipta sejak kecil lagi kerana penghasilannya mengambil tempoh masa yang agak lama.

Slot bina keyakinan bina keterampilan yang disampaikan oleh Nisa Rina

Tirai majlis dibuka dengan satu slot khas mengenai kaedah menguasai pengucapan awam yang disampaikan oleh Anis Arina Aqilah Roslee atau lebih dikenali sebagai Nisa Rina yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial UPSI. “Bina Keyakinan, Bina Keterampilan” menjadi topik dan fokus utama bagi slot ini dalam usaha menjentik keberanian diri peserta untuk menjadi individu yang optimis serta proaktif.

Menurut pengarah program, Nur Afiqah Ibrahim dalam ucapannya berhasrat agar program ini mampu memberikan manfaat buat semua peserta yang terlibat. “Semoga program ini dapat memberi impak dan kesan yang positif dalam diri hadirin sekalian. Diharapkan menerusi program ini peserta dapat mempelajari sesuatu perkara yang baharu untuk ditambah baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Perasmian program ini disempurnakan oleh penasihat program, Norrulkamari Daud. Beliau berharap program seumpama ini perlu diperbanyakkan lagi kerana ini merupakan salah satu platform terbaik untuk mengembangkan lagi potensi diri pelajar.

“Mungkin ada sesetengah daripada peserta pada sebelumnya menganggap dirinya tidak mampu untuk berucap tetapi akhirnya berjaya menghuraikan idea dalam hujah dengan sangat baik. Justeru itu, kemampuan yang sedia ada harus diberi nafas baharu melalui penyertaan dalam program sebegini,” katanya.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang berentap di pentas program ini membolehkan peserta untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa di samping dapat dipraktikkan khususnya ketika sesi pembelajaran dalam kelas memandangkan peserta termuda adalah berumur 13 tahun.

Menurut Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah “Program ini membolehkan para peserta untuk berhadapan dengan orang ramai dan dijadikan nilai tambah ketika beraksi di pentas. Pendekatan ini akan melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri yang tinggi, seterusnya menjadi agen kemajuan dan pembangunan negara”.

Program berakhir dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Pertandingan ini telah dijuarai oleh Sharifah Shahirah Syed Sagaff diikuti oleh Farizh Iman Danial Mohd Firdau. Pertandingan ini telah diadili dengan telus oleh Profesor Madya Dr. Ghazali Din dan Mohd Zahren Zakaria selaku panel juri jemputan. Pandangan dan komen yang membina daripada para juri dapat dijadikan panduan dan penyuntik semangat peserta.

Program ini dilihat mampu memberi pendedahan kepada peserta serta dapat membuka minda sebagai persediaan awal buat mereka untuk memaksimalkan potensi diri hingga ke persada dunia. Harapan penganjur adalah agar ilmu yang yang diperoleh melalui program ini dapat mendorong peserta dalam membantu untuk memperkasakan lagi Siswa Madani di peringkat institut pengajian rendah mahupun tinggi seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)