11 Jun 2024

Tanjong Malim: Satu langkah signifikan diambil oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak (MEITD) bagi mempromosikan program pengajian siswazah dalam kalangan guru-guru Negeri Sarawak.

Delegasi UPSI diketuai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) IPS, Prof. Madya Dr. Zulezwan Ab. Malek bersama Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Dr. Nor Azrin Md Latip, Pensyarah FPE; Prof. Madya Dr. Mahaliza Mansor serta beberapa pegawai yang menguruskan program Pengajian Siswazah secara Pesisir.

Kunjungan ini disambut mesra oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat 1, MEITD Datuk Dr. Annuar Rapaee; Setiausaha Tetap MEITD, Datu Haji Azmi Haji Bujang bersama Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak (PAGS).

Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme guru Sarawak.

Sesi pembentangan disampaikan oleh Timbalan Dekan HEPA, IPS yang mengetengahkan program pengajian secara Pesisir telah berjaya menarik minat pihak MEITD.

Dekan IPS, Profesor Dr. Raja Nor Safinas yang turut hadir secara atas talian menjelaskan bahawa program secara pesisir memberi fleksibiliti pembelajaran kepada pelajar tanpa menjejaskan tugas hakiki sebagai guru.

“Dengan sokongan MEITD, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada guru tempatan untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.

Ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada para guru sekali gus meningkatkan kecemerlangan Pendidikan terutama bagi seluruh rakyat Sarawak” katanya.

Dalam perbincangan tersebut, YB Datuk Dr. Annuar Rapaee memberitahu hampir 40 peratus guru-guru Sarawak yang mengajar subjek Matematik dan Sains adalah bukan opsyen.

Beliau menekankan bahawa inisiatif untuk meningkatkan mutu Pendidikan Bahasa Inggeris dan STEM sedang giat dijalankan seiring dengan lima Pilar Utama KPM tahun 2024.

“MEITD sentiasa komited dalam pembangunan pendidikan negeri Sarawak khususnya. Melalui kerjasama ini, kami akan memberikan bimbingan, khidmat nasihat, dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan,” jelasnya.

Selain daripada itu, perbincangan turut menyentuh mengenai usaha untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran agar selari dengan generasi murid kini.

Kunjungan ini menandakan permulaan yang menjanjikan bagi UPSI dalam usaha memperluas program pengajian siswazah sekali gus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai Universiti Pendidikan di Malaysia.

Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini, diharapkan lebih ramai guru tempatan yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana seterusnya kedoktoran dan melahirkan guru yang berkemahiran tinggi, berintegriti dan berdaya saing dalam bidang pendidikan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)