Oleh: Cik Izzah Farhanah Mat Hussin
Tanjung Malim, 27 Februari 2025 – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai langkah strategik memperkukuh Wakaf Pendidikan dalam menyokong keperluan akademik dan kebajikan pelajar dari Sabah.
Delegasi MUIS yang diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pelaburan MUIS, Tuan Putera Aliif Al’Ain Jasni.
Dalam ucapan aluannya, beliau menyatakan kunjugan mereka ke UPSI adalah bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih dekat berkaitan perlaksanaan wakaf Pendidikan di UPSI khasnya berkaitan Pembangunan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami serta strategi yang dilaksanakan oleh UPSI bagi mendapatkan layanan pelepasan cukai di bawah seksyen 44(11D) wakaf dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut Bendahari UPSI, Tn Hj. Mohamad Najib Mohamed, UPSI amat berbesar hati menjadi pilihan MUIS dalam perbincangan hala tuju Wakaf Pendidikan.

Beliau turut berkongsi keterbukaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam menjayakan Wakaf Pendidikan di UPSI yang boleh dijadikan model bagi Sabah dalam memperkasakan wakaf pembangunan pendidikan.
Sementara itu, Pengarah WEZAS, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, berkongsi berkenaan pelaksanaan wakaf pendidikan di UPSI menerusi pembangunan fasiliti wakaf Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami yang merupakan model projek wakaf pertama di IPTA.
Beliau turut menyatakan bahawa seramai 2,329 pelajar Sabah kini melanjutkan pengajian di UPSI yang merupakan antara penerima manfaat WEZAS UPSI.
Oleh itu, usaha memperluaskan jaringan wakaf dilihat sebagai solusi jangka panjang yang mampan dan memperkukuh pembangunan akademik serta kebajikan pelajar Sabah di UPSI. Diharap kunjungan ini merupakan satu langkah proaktif ke arah jalinan kerjasama strategik antara MUIS dan UPSI.
