Oleh: En. Azizi Mohamad Husin @ Hussain

Petaling Jaya, 22 Februari 2025 – Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jawatankuasa Agihan Zakat telah menganjurkan Bengkel Semakan Garis Panduan Pengurusan Tabung Amanah Zakat UPSI di IBIS Hotel PJCC.

Bengkel ini bertujuan untuk menilai, menyelaras serta menambah baik skim pengagihan zakat sedia ada berdasarkan keperluan semasa, kadar kos sara hidup dan kapasiti warga UPSI.

Untuk rekod, kali terakhir pindaan garis panduan ini dilakukan adalah pada tahun 2019, menjadikannya pindaan keempat yang dilaksanakan kali ini sangat signifikan bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan keperluan warga UPSI.

Bengkel ini diketuai oleh pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif.

Keanggotaan Jawatankuasa Agihan terdiri pegawai tadbir WEZAS (Zakat) di WEZAS, pegawai dari Unit Pembayaran Jabatan Bendahari, pegawai dari Unit Kewangan Pelajar Jabatan Bendahari, pegawai dari Seksyen Kebajikan, Perumahan dan Perkhidmatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Seorang pegawai Endowmen WEZAS, Exco Kebajikan dan Perumahan Majlis Perwakilan Pelajar, pegawai dari Unit Kebajikan Staf BSM dan pegawai yang menguruskan Skim Khairat dan Dana Sedekah WEZAS.

Bengkel ini telah memberi fokus kepada dua inisiatif utama bagi memperkukuh sistem pengagihan zakat UPSI iaitu penyelarasan 16 Skim Agihan Zakat – Garis panduan 16 skim agihan telah dikaji semula dan diselaraskan untuk diaplikasikan bermula semester kedua sesi akademik 2024/2025 serta ⁠pembangunan Kalkulator Had Kifayah – Satu kalkulator pengiraan had kifayah menggunakan Microsoft Excel telah dibangunkan bagi mempermudah proses penilaian kelayakan penerima zakat dalam kalangan kakitangan dan pelajar UPSI.

Sebanyak 16 skim agihan zakat telah dikemaskini untuk memastikan keberkesanan serta ketepatan dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Skim yang diperbaharui merangkumi aspek kebajikan pelajar dan kakitangan UPSI. Antara skim utama yang ditambahbaik adalah Skim Bantuan Sara Hidup (Pelajar Prasiswazah) memandangkan skim ini sangat penting bagi penyediaan bantuan kewangan bagi pelajar prasiswazah yang menghadapi kesulitan kewangan sepanjang pengajian.

Selain daripada itu, penambahbaikan juga melibatkan Skim Bantuan Sara Hidup (Kakitangan UPSI) bagi menyokong kewangan kepada kakitangan UPSI yang berdepan cabaran kewangan, Skim Bantuan Bayaran Hutang Yuran Pengajian kepada pelajar yang mengalami kesulitan dalam pembayaran yuran pengajian dan Skim Bantuan Perubatan.

Garis panduan ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat UPSI pada Mac 2025, yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin.

Penyelarasan dan pemindaan garis panduan ini adalah berlandaskan Perjanjian Pelantikan Amil Institusi antara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan UPSI, yang memberikan punca kuasa kepada UPSI dalam mengurus serta mengagihkan dana zakat berdasarkan keperluan semasa.

Berdasarkan ketetapan syarak, pengagihan zakat di UPSI tertumpu kepada tiga kategori utama asnaf, iaitu: Asnaf Miskin, Asnaf Fisabilillah dan asnaf Gharimin.

Penganjuran bengkel ini merupakan satu inisiatif signifikan dalam memastikan sistem pengagihan zakat UPSI lebih sistematik, telus dan berkesan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Dengan penyelarasan skim serta pembangunan kalkulator had kifayah, diharapkan pengurusan zakat UPSI dapat memberikan impak yang lebih holistik dan menyeluruh, sekaligus memperkukuh kesejahteraan warga UPSI dalam aspek kebajikan dan pembangunan akademik.