Oleh Nurul Asyiqin binti Samsul Kamal dan Dr, Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Inisiatif ceramah ilmu secara atas talian ataupun webinar banyak membantu dalam membuka peluang pembelajaran kepada semua. Webinar tidak mempunyai batasan kerana semua individu dari seluruh Malaysia boleh menyertai webinar tersebut. Pendekatan ini dilihat sangat relevan dengan perkembangan teknologi masa kini yang membolehkan penyampaian ilmu dilakukan secara lebih fleksibel, mudah diakses dan menjimatkan kos. Selain itu, webinar juga memberi ruang kepada masyarakat untuk menimba ilmu tanpa mengira latar belakang, lokasi geografi mahupun kekangan masa.
Kesan positifnya dapat dilihat semasa berjalannya Environmental Advocacy Webinar anjuran Universiti Utara Malaysia pada 22 November 2025. Program ini berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, golongan profesional serta individu yang berminat dalam isu alam sekitar. Webinar ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta peranan setiap individu dalam menjaga kelestarian bumi.
Menurut Masturina, salah seorang peserta webinar tersebut, pelbagai perkongsian telah diberikan oleh saudara dan saudari Jing Zong Yap, Founder dan CEO 4 Leaf Nursery & Landscape, Abbas Ali, Environmental & Youth Activist serta Sharmaine selaku Ecogarage Representative. Setiap penceramah berkongsi pengalaman, pandangan serta inisiatif yang telah mereka laksanakan dalam bidang alam sekitar dan kelestarian.
Salah seorang panel penceramah, Abbas Ali adalah merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kimia dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain menjadi seorang Environmental & Youth Activist, beliau juga telah dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025.
Ilmu yang diberikan datang daripada perspektif pelbagai individu berbeza yang mahir dalam bidang mereka. Kepelbagaian latar belakang penceramah menjadikan sesi perkongsian lebih menarik dan menyeluruh kerana peserta dapat melihat isu alam sekitar dari sudut industri, aktivisme belia dan pengurusan komuniti. Hal ini secara tidak langsung membuka ruang perbincangan yang lebih luas serta menggalakkan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.
Intipati yang diberikan amat menarik dan membuka mata para peserta untuk lebih menjaga bumi kita. Antara topik yang dibincangkan termasuk amalan gaya hidup lestari, kepentingan penglibatan belia dalam advokasi alam sekitar serta usaha kecil yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk mengurangkan kesan pencemaran. Kesimpulannya, penganjuran webinar seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja menjadi medium penyampaian ilmu yang berkesan, malah mampu membentuk masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Kelestarian alam sekitar terletak di tangan setiap individu di Malaysia dan peluang untuk mempelajari topik ini dengan lebih mendalam boleh didapati menerusi webinar seperti Environmental Advocacy Webinar dan webinar yang akan datang. Semamangnya sudah terbukti webinar percuma memberikan impak yang positif terhadap para pelajar dan masyarakat.
