Tanjung Malim- “Mama, Ayah! Kakak dah dapat ijazah. Terima kasih untuk segalanya,”. Itulah ungkapan penuh haru yang disampaikan oleh wakil graduan, Nur Atiqa Balqis Abdul Samad di Istiadat Konvokesyen ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi keenam yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor.

Graduan UPSI berasal dari Segamat, Johor tersebut menghiasi ucapannya dengan menyelitkan bahasa jawa sebagai penghargaan beliau terhadap kedua ibubapanya  yang berusaha keras sehingga beliau mampu menggenggam segulung ijazah yang bermakna.

Menurutnya, sosok ibubapa yang tidak pernah lelah membesarkan dan memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya adalah pemberian Tuhan paling bermakna dalam hidupnya.

“Di sebalik kejayaan kita hari ini ada dua insan yang sentiasa mendoakan kita. Dua insan yang tidak pernah lelah memenuhi keperluan kita”

“Dan mereka  ini yang sentiasa menghubungi kita walau apapun keadaan sekalipun. Dan dua insan inilah yang penuh kerinduan menantikan kepulangan kita di rumah.”

“Dan dua insan inilah yang dinamakan ibu dan ayah kita yang tidak pernah lelah menyediakan tangan untuk dihulur, mempersiapkan bahu untuk disandar serta memberikan hati yang penuh dengan kasih dan sayang,” katanya.

Tidak hanya itu, Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pengurusan Sumber Manusia,di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) menyatakan bahawa UPSI banyak membuka peluang dan memberikan segudang pengalaman kepada dirinya.

Balqis juga merupakan ahli media seekers yang aktif dalam aktiviti media UPSI
Balqis bersama media seekers terlibat sebagai sukarelawan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2019
berbahas selaku  Majlis Perwakilan Pelajar UPSI di Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI 2023

“Sebesar mana usaha yang dikerahkan, sebesar itu juga kejayaan yang kamu perolehi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, setiap pengorbanan yang dijalankan demi menimba ilmu pastinya dibalas dengan senyuman penuh dan syukur yang paling besar.

“Pesanan saya untuk semua rakan-rakan graduan, teruskan menabur bakti di fakulti dan universiti tercinta. Teruskan melangkah kehadapan dan meraih kejayaan bersama”.

Mengakhiri ucapan, Nur Atiqa Balqis menghadiahkan lagu Januari nyanyian Grenn Fredly tentang memori dan kenangan indah bersama selama beliau berada di bumi Muallim.