Oleh: Nur Nabilah Nazri
Putrajaya – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengukir kejayaan membanggakan menerusi penyertaan mahasiswa Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dalam Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 yang berlangsung pada 17 hingga 19 November 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Penyertaan dalam pertandingan inovasi digital berprestij ini telah membuahkan hasil apabila berjaya meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk tempat pertama, tempat kedua, anugerah khas serta pingat emas dan perak.
Program DICE 4.0 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan penyelarasan bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), bertujuan memperkasa kreativiti, inovasi dan keusahawanan digital dalam kalangan mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Program ini memberi penekanan kepada pembangunan produk kreatif yang berpotensi untuk dipasarkan melalui penerapan teknologi digital dan kecerdasan buatan, selaras dengan konsep From Creative Product to Market-Ready Innovation.
Mengangkat tema “Warisan”, DICE 4.0 memberi ruang kepada peserta untuk menghasilkan inovasi digital yang mengetengahkan identiti, budaya, sejarah, seni, adat, seni bina dan kearifan tempatan melalui produk kreatif yang mempunyai nilai komersial. Pertandingan ini merangkumi lima kategori, iaitu Animasi Pendek, Filem Pendek, VR/AR/MR, Permainan Digital dan Rekabentuk Perindustrian.
Sepanjang pelaksanaan fasa akhir, peserta berpeluang mempamerkan hasil projek masing-masing serta menjalani sesi playtest dan penjurian bagi menilai keupayaan, kreativiti serta potensi inovasi produk yang dihasilkan. Majlis perasmian penutupan dan penyampaian Anugerah Utama telah berlangsung pada 18 November 2026, manakala penyampaian Anugerah Khas disempurnakan pada 19 November 2026.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan Fat Oyen Studio telah mencipta kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai Tempat Pertama bagi Kategori Permainan Digital, selain menerima Anugerah Khas Impak Warisan Terbaik dan Pingat Emas. Kejayaan ini membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI menghasilkan produk permainan digital yang kreatif, inovatif dan mampu mengangkat elemen warisan dengan impak yang signifikan.
Sementara itu, kumpulan Hollow Studio turut mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih Tempat Kedua bagi Kategori Animasi Pendek serta Pingat Emas. Pencapaian ini mencerminkan kebolehan mahasiswa dalam menghasilkan karya animasi yang berkualiti tinggi, kreatif dan mempunyai nilai inovasi dalam penyampaian kandungan digital.
Kumpulan The Alchemist Space pula berjaya memperoleh Pingat Perak bagi Kategori Filem Pendek, sekali gus melengkapkan kejayaan UPSI menerusi penyertaan dalam tiga kategori pertandingan. Pengiktirafan yang diraih ini memperlihatkan potensi serta bakat mahasiswa UPSI dalam bidang permainan digital, animasi dan produksi filem kreatif.



Pencapaian yang diraih oleh ketiga-tiga kumpulan ini merupakan hasil usaha, komitmen dan dedikasi warga FSKIK dalam membimbing serta mengembangkan potensi mahasiswa. Dalam hal ini, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) turut memberikan sokongan tambahan dari aspek pembiayaan bagi membantu memperluas peluang penyertaan mahasiswa ke platform pertandingan dan inovasi di peringkat lebih luas.
Kejayaan yang diraih dalam DICE 4.0 diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa UPSI untuk meneroka bidang keusahawanan digital, memperkukuh kemahiran kreatif dan inovatif serta menghasilkan produk yang mempunyai nilai pasaran. Pencapaian ini juga membuktikan bahawa mahasiswa UPSI berupaya bersaing di peringkat lebih luas, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif negara.
