ALOR SETAR, 20 Januari – Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia, yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pelaksana program ini. Bagi peringkat Negeri Kedah, majlis peluncuran dan penyerahan tablet pendidikan telah berlangsung di SMK Mahsuri, Langkawi, serta beberapa lokasi lain termasuk Dewan Al–Farabi, Zon B, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Bilik Kenangan Blok Ibnu Sina (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, dan SMK Pinang Tunggal bermula 19 Januari hingga 22 Januari 2025.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib, Ketua Pegawai Pendidikan Yayasan Hasanah; YBrs. Tuan Malek bin Abu Hassan, Timbalan Pengarah Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; YBrs. Tuan Syed Yusof Syed Kechik, Felo Penyelidik (Perunding); Dr. Leelany Ayob, Ketua Projek Universiti Sains Malaysia; serta YBrs. En. Lau Choon Wei, Ketua Jualan Perusahaan Wilayah, CelcomDigi Berhad.
Intervensi Pendidikan Inklusif untuk Kecemerlangan SPM
Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) bertujuan menyediakan intervensi sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan, menangani isu keciciran, meningkatkan pencapaian akademik, serta memperkukuh kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebagai sebahagian daripada program nasional Program Anak Kita, yang melibatkan 83,752 pelajar dari 3,458 sekolah di seluruh negara, USM telah diberi mandat untuk melaksanakan Tuisyen SPM 2025 yang merangkumi 10 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, melibatkan 10,000 pelajar dari 410 sekolah. Di Kedah sahaja, program ini memberi manfaat kepada 1,200 pelajar dari 29 sekolah, dengan pelaksanaan selama 15 bulan bermula Mac 2025 hingga Ogos 2026.
Untuk rekod Program Anak Kita: SPM 2025 dilaksanakan di seluruh negara dengan USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi mandat menjadi pelaksana bagi program tersebut.
Tablet Pendidikan & Akses Internet Percuma
Sebagai langkah pemerkasaan pembelajaran digital, setiap pelajar dalam program ini diberikan tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta akses kepada sumber pendidikan digital. Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama CelcomDigi Berhad, yang menyediakan akses internet tanpa had bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran tanpa halangan.

Dalam ucapan Timbalan Pengarah Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, YBrs. Tuan Malek bin Abu Hassan, menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara bijak dan bertanggungjawab. Beliau berpesan kepada para pelajar supaya memanfaatkan tablet pendidikan yang diberikan untuk pembelajaran dan tidak menyalahgunakannya untuk perkara yang tidak berfaedah. “Gunakan kemudahan ini untuk meningkatkan prestasi akademik dan membina masa depan yang lebih cerah. Jangan sia-siakan peluang ini,” ujar beliau.
Pendekatan Holistik & Pemerkasaan Digital
USM sebagai pelaksana program komited dalam memperkasakan pelajar melalui pendekatan holistik dan intervensi berstruktur. Program ini bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik, tetapi juga pembangunan diri dan persediaan pelajar menghadapi kehidupan selepas sekolah.
Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib, Ketua Pegawai Pendidikan Yayasan Hasanah, menegaskan bahawa Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) merupakan bukti keberkesanan sinergi kerjasama dalam sektor pendidikan. “Kami berharap program ini dapat memperkasakan pelajar yang kurang berkemampuan serta membawa impak positif kepada pembangunan pendidikan negara,” ujar beliau.
Selain itu, program ini turut memanfaatkan hasil penyelidikan universiti melalui pemindahan ilmu dan inovasi akademik, memastikan pendekatan pembelajaran yang lebih efektif serta menyesuaikan keperluan pelajar secara individu.
Kerjasama Komuniti dan Aspirasi Masa Depan
Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) tidak hanya memberi impak kepada pelajar, tetapi juga mengukuhkan penglibatan komuniti melalui kerjasama antara sekolah, ibu bapa, dan masyarakat setempat.

Kesimpulannya, program ini membuka ruang kepada pelajar daripada latar belakang mencabar untuk memperoleh pendidikan yang inklusif dan berkualiti. Semua pihak berharap inisiatif ini akan membantu mencorak masa depan pelajar dengan lebih cerah, sekaligus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia.