Oleh: Rozana Bala
Tanjong Malim, Perak, 19 Mei 2026 – Dewan Harun Aminurrashid (KHAR), KSAS, Universiti Pendidikan Sultan Idris kembali lagi dengan penganjuran satu program santai yang bertajuk Pastel Puffs: “Swirling Cuteness” yang telah dijalankan pada 19 Mei 2026.
Program ini dianjurkan oleh Exco Blok Kediaman 4, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026. Program ini terbuka kepada penghuni Kolej Harun Aminurrashid dan bilangan penyertaan seramai 151 orang. Program ini bertujuan untuk memberi ruang kepada peserta menggunakan kreativiti melalui aktiviti kraf tangan dalam menghias keychain acrylic dan klip rambut dengan imitation cream glue dan manik-manik. Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk perpaduan antara peserta dalam suasana yang santai.



Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta sekitar 8.00 malam dan diikuti dengan ketibaan barisan VIP iaitu YBrs. Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua KHAR, UPSI dan YBrs. Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim, Felo Blok Kediaman 4, KHAR, UPSI. Majlis dimulakan dengan bacaan doa bagi memperoleh keberkatan program dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program Pastel Puffs: “Swirling Cuteness” iaitu Saudari Nisa Nazirah binti Mohd Helmi. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program ini merupakan salah satu langkah penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai hubungan yang baik antara sesama sendiri.



Selain itu, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Felo Blok Kediaman 4, KHAR, UPSI iaitu YBrs. Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program ini merupakan satu aktiviti yang mampu mewujudkan suasana kolej yang lebih ceria, aktif dan harmoni dalam kalangan pelajar. Beliau turut berharap agar para peserta dapat menggunakan peluang ini untuk mengenali antara satu sama lain serta meningkatkan semangat kerjasama sepanjang berada di kolej kediaman. Akhir sekali, program seperti ini juga dapat membantu pelajar mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan.
Seterusnya, ucapan perasmian oleh Pengetua KHAR, UPSI iaitu YBrs. Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah. Beliau menyatakan bahawa program Pastel Puffs: “Swirling Cuteness” merupakan program yang bukan sahaja membawa tema kreatif, malah menjadi platform untuk mencungkil bakat, mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan para peserta. Nama “Swirling Cuteness” sendiri melambangkan kreativiti, kelembutan seni dan kegembiraan yang ingin kita kongsi bersama sepanjang program ini berlangsung.
Hasil dari program ini mampu menjadi medium yang positif untuk belajar, berkongsi idea dan mencipta kenangan manis bersama dan berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta, bukan sahaja dari aspek kemahiran dan pengalaman tetapi juga dalam membina keyakinan diri dan hubungan persahabatan yang lebih erat.



Kemudian, program diteruskan dengan sesi taklimat yang diketuai oleh AJK Aktiviti untuk memberi penerangan berkaitan dengan perjalanan program. Selesai sahaja taklimat yang diberikan, sesi aktiviti terus dimulakan serta-merta di mana peserta mula menghias keychain acrylic dan klip rambut dengan menggunakan imitation cream glue dan manik-manik. Program ini berakhir pada 11.00 malam dengan sesi fotografi dengan semua peserta dan AJK Pelaksana bagi mengabadikan kenangan bersama yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan aktiviti tersebut.
Secara keseluruhannya, penganjuran Program Pastel Puffs: “Swirling Cuteness” ini, berfungsi sebagai pemangkin kepada pengukuhan ukhuwah dalam kalangan penghuni. Aktiviti kreatif seperti ini bukan sahaja mampu menyuntik inspirasi dan menceriakan emosi malah boleh membina suasana harmoni di blok kediaman.
