TANJONG MALIM, 23 Mei 2026 – Sorakan gempita dan impak pertembungan fizikal yang padu memecah keheningan Padang Utama Kampus Sultan Abdul Jalil Shah apabila menjadi medan tempur Program UPSI Rugby Carnival 2026.

Kejohanan yang bertemakan “Memperkasa Belia Melalui Sukan MADANI” ini berlangsung meriah dengan menghimpunkan komuniti ragbi, kelab-kelab elit, serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari seluruh Malaysia.

Program berskala kebangsaan ini diterajui secara proaktif oleh Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Eagles UPSI, serta mendapat sokongan penuh daripada Pusat Sukan UPSI.

Kejohanan berprestij ini bertindak sebagai platform transformasi holistik bagi melahirkan “The Thinking Athlete” sebagai satu formula melahirkan atlet mahasiswa yang bukan sahaja ‘keras’ dan taktikal di padang ragbi, tetapi juga tajam di dewan kuliah (Dual Career).

Di samping itu, setiap pasukan memanfaatkan sepenuhnya platform ini untuk menguji kemampuan pemain, memperkemaskan variasi taktikal, serta membina keserasian menjelang pelbagai kejohanan besar sepanjang tahun.

Dalam Kategori Terbuka, perlawanan berlangsung dalam atmosfera yang cukup kompetitif dan padat dengan aksi ragbi moden.

Penonton disajikan dengan impak tackle yang menggegar, larian darting run membelah benteng, serta perebutan bola yang sengit di situasi scrum dan line-out demi memburu pukulan try. Setelah bertempur hebat, pasukan UPSI Senior membuktikan dominasi mereka apabila muncul sebagai Juara Keseluruhan mutlak selepas mempamerkan aksi kelas pertama sepanjang kejohanan.

“Kami mahu UPSI Rugby Carnival menjadi medan yang mampu menyatukan komuniti ragbi Malaysia dalam satu suasana yang positif dan kompetitif. Apabila kelab-kelab serta IPTA dapat berkumpul, ia membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pembangunan bakat, serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga ragbi,” ujar Pengarah Program, saudara Nazrul Afiq bin Roslan. Beliau turut melahirkan rasa terharu atas sambutan luar biasa daripada pasukan yang bertanding, ibu bapa, dan para penyokong.

Selain kehangatan aksi Kategori Terbuka, tumpuan peminat sukan turut terarah kepada Kategori Bawah 12 Tahun (U12) yang melibatkan penyertaan sengit 15 pasukan.

Menariknya, sebahagian besar pemain yang beraksi merupakan ‘ubi muda’ terbaik yang sedang membuat persiapan rapi untuk mewakili negeri masing-masing ke kejohanan anjuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung pada Jun ini.

Kehadiran aset masa depan negara ini membuktikan kejohanan anjuran MMKHAR ini semakin diyakini sebagai platform persediaan berkualiti bagi pembangunan ragbi di peringkat akar umbi.


Menurut Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, kehadiran pemain-pemain peringkat negeri ini memberikan petunjuk yang sangat positif. “Melihat pemain muda yang bakal membawa cabaran negeri turun beraksi di sini membuktikan bahawa kejohanan ini mampu membantu proses pembangunan bakat serta memberi pendedahan pertandingan yang diperlukan sebelum mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Kejayaan penganjuran ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia Dan Sukan, YB Dato’ Khairudin Bin Abu Hanipah, yang telah memberikan sumbangan khas bagi membantu menjayakan UPSI Rugby Carnival 2026. Sokongan konkrit ini menjadi pemangkin besar kepada usaha murni universiti dalam memangkin bakat sukan khususnya dalam kalangan pelajar dan atlet muda negara.

Walaupun pertempuran di atas padang berlangsung dengan penuh fizikal, sifat kesukanan sejati tetap diterjemahkan apabila semua pemain saling bersalaman dan berpelukan sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan dan membuktikan nilai setiakawan ragbi yang tiada tandingan.

Dengan kehadiran hampir 1,000 peserta, pegawai pasukan, ibu bapa, dan pengunjung, UPSI Rugby Carnival 2026 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya sekali gus membuktikan peranannya sebagai hab penting yang menghubungkan komuniti ragbi negara dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat kompetitif.