oleh: Nurul Radzieyatulaien

Tanjung Malim, 31 Oktober 2026 – Seramai 163 mahasiswa menyertai program Mega Mission “One Team, One Mission” anjuran Exco Blok Kediaman 1, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) yang berlangsung pada 31 Oktober 2026 bagi memperkukuh semangat kerjasama, perpaduan dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Program yang berteraskan semangat berpasukan itu mengetengahkan aktiviti explorace sebagai pengisian utama dengan melibatkan lima checkpoint yang menguji kebolehan peserta dalam aspek kreativiti, komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

Antara aktiviti yang diperkenalkan ialah Math Crossword Puzzles yang menguji ketelitian dan kemahiran numerikal peserta, manakala Paper Bridge pula mencabar kreativiti mereka dalam menghasilkan jambatan menggunakan kertas.

Selain itu, permainan meneka gaya turut menguji kemahiran komunikasi apabila peserta perlu menyampaikan maklumat melalui pergerakan dan gaya. Aktiviti Human Knot pula memerlukan setiap ahli kumpulan bekerjasama menggunakan strategi yang sesuai untuk meleraikan simpulan tangan.

Berbeza daripada cabaran sebelumnya, checkpoint kelima menjadi penentu kepada penyelesaian misi apabila setiap kumpulan perlu menggabungkan petunjuk yang dikumpulkan daripada checkpoint terdahulu untuk mendapatkan jawapan akhir. Cabaran tersebut menuntut peserta menggunakan pemikiran kritis serta menyusun strategi secara berkumpulan bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya memperoleh kemenangan dalam cabaran explorace. Hadiah disampaikan oleh Felo Blok Kediaman 1, Cik Ainnur Shazleen Aqilla binti Sha’azman sebagai penghargaan terhadap usaha dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.

Penganjuran program Mega Mission “One Team, One Mission” turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran interpersonal, meningkatkan keyakinan diri serta memahami kepentingan peranan setiap ahli dalam sesebuah pasukan.

Melalui pelaksanaan aktiviti berkonsepkan explorace ini, semangat saling membantu dan kerjasama menjadi antara elemen utama yang diterapkan sepanjang program. Penglibatan seramai 163 peserta turut memperlihatkan penyertaan mahasiswa dalam aktiviti berkumpulan yang menggabungkan elemen pembelajaran dan rekreasi.

Program anjuran Exco Blok Kediaman 1 itu diharapkan mampu menjadi salah satu platform berterusan dalam menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan selaras dengan slogan “One Team, One Mission”.