KOTA KINABALU, 21 Jan – Majlis Perasmian Peranti dan Sijil Kolaborasi telah dilaksanakan di bawah Program Anak kita: Semarak Potensi Malaysia peringkat Negeri Sabah yang telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah. Program Anak Kita bertujuan untuk menangani isu keciciran dan memperkukuhkan pencapaian pendidikan di Malaysia dengan kerjasama dan usahasama antara Unit Pantau Madani Kementerian Kewangan, Kementerian Pedidikan Malaysia (KPM), dan Yayasan Hasanah. Sejumlah 1,833 orang murid daripada 49 buah sekolah yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Negeri Sabah yang menerima manfaat pengagihan peranti Tablet, memberikan mereka peluang yang lebih baik untuk mengikuti pembelajaran digital.

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris telah diberi mandat untuk menjadi penyedia perkhidmatan bagi enam negeri termasuk Negeri Sabah komited untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan murid-murid di Negeri Sabah dapat dibantu. Pendidikan merupakan aspek yang penting untuk membina generasi yang mampu untuk memacu masa depan negara.

Tuan Haji Azman bin Haji Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.yang menyampaikan ucapan menyentuh mengenai pentingnya akses kepada teknologi dalam dunia pendidikan masa kini. Penyerahan peranti Tablet kepada murid merupakan inisiatif yang komprehentif daripada pihak kerajaan bagi memastikan pendidikan negara berada pada tahap yang terbaik.

“Kementerian Pendidikan Malaysia berterima kasih atas inisiatif yang besar untuk memastikan kualiti pendidikan dapat ditingkatkan. Isu keciciran pembelajaran merupakan satu isu signifikan yang perlu diberi perhatian. Oleh itu, bagi menangani isu keciciran pembelajaran ini dapat diatasi dengan fokus kepada kumpulan sasaran seperti mana konsep yang digunakan dalam Program Anak Kita yang dilaksanakan” ujar Tuan Haji Azman bin Haji Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif berkata, penggunaan peranti dalam proses pembelajaran ini mampu memberi semangat kepada murid untuk belajar disamping meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi digital.

“Pembangunan pendidikan digital negara perlu disikapi seiring dengan perkembangan teknologi digital pada peringkat global dan nasional. Kerajaan bersedia dan berusaha melakukan perubahan dengan transformasi teknologi digital bagi meningkatkan daya saing dan kemajuan landskap pendidikan negara. Oleh itu Program Anak Kita yang dilaksanakan sejajar dengan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi yang fasih digital.”

“Pemberian peranti memberi manfaat kepada murid membuat carian pembelajaran menerusi aplikasi tersedia dan juga aplikasi lain. Kepesatan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan Artificial Intelligence (AI) merupakan teknologi pintar yang mampu memperbaiki mutu pengajaran, pembelajaran kerja dan kehidupan” tambah beliau.

Majlis tersebut turut dihadir oleh Pegawai Projek Khas Unit Pantau MADANI Cik Kamariah Shakirin Mustafa, Advocacy Manager Of Education Cik Chow Shenn Kuan, Pengarah Jabatan Negeri Sabah Datuk Haji Raisin bin Saidin dan Projek Koordinator Program Anak Kita SPM 2025 Dr. Omar Firdaus Bin Mohd Said.