Oleh: Nurin Izzati dan Richelle Lee Hui Hui
Tanjong Malim, 19 Mei 2026 – Semangat keusahawanan dan nilai keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa/i terus diperkasakan dengan secara terus menerus melalui penganjuran Program RahmahPreneur BizFest anjuran Exco Niaga dan Usahawan Muda, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026. Program yang berlangsung di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini berjaya menarik penyertaan mahasiswa serta komuniti Muallim sepanjang pelaksanaannya.

Program ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Yayasan Bushra, Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) serta Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS). Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa/i mengenai pengurusan program dan bidang keusahawanan di samping membantu mahasiswa/i UPSI yang kurang berkemampuan melalui pelaksanaan Jualan Rahmah dan bantuan asas kepada golongan asnaf.
Pelbagai pengisian menarik telah dijalankan sepanjang program berlangsung. Antaranya termasuk Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga berpatutan bagi membantu mahasiswa/i berjimat dalam perbelanjaan harian. Program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan dan kerjasama melalui penglibatan aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Program ini turut dimeriahkan dengan sesi perkongsian bersama pihak KPDN yang disampaikan oleh Tn. Mohamad Fazrin Saharudin, Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDN Tapah, berkaitan inisiatif Jualan Rahmah sebagai usaha meningkatkan kesedaran mahasiswa/i terhadap kepentingan pengurusan kewangan dan kesejahteraan komuniti.
Penyampaian bantuan asas kepada mahasiswa/i berstatus asnaf juga menjadi sasaran pengisian utama bagi mencerminkan nilai kebajikan dan keprihatinan sosial dalam kalangan warga universiti.
Menurut Muhammad Muqri Haziq Muhamed Fared selaku Pengarah Program, “Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk menimba pengalaman dalam pengurusan program dan keusahawanan, malah turut memupuk semangat kerjasama serta tanggungjawab sosial dalam diri setiap peserta. Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan mahasiswa/i yang lebih kreatif, berdaya saing dan prihatin terhadap masyarakat.”

Sementara itu, Puan Siti Norhuda Md Ali selaku penasihat merangkap perasmi program berkata, “Penganjuran Program ini memberi banyak manfaat kepada mahasiswa/i bukan sahaja dari aspek keusahawanan, malah turut membantu dalam pembentukan sahsiah, kemahiran insaniah dan semangat kesukarelawanan. Saya amat berbangga melihat komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak sepanjang program berlangsung.”
Dengan berakhirnya program ini, diharapkan agar usaha memperkasakan budaya keusahawanan dan kebajikan dalam kalangan mahasiswa/i dapat diteruskan secara berterusan. Program seperti ini bukan sahaja membantu mahasiswa/i dari sudut ekonomi, malah turut melahirkan mahasiswa yang lebih kreatif, berdaya saing dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
