Oleh: Afiqah Danian

TANJONG MALIM, 23 NOVEMBER 2024 – Pesta Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI ke-26 (PESKON26) berlangsung dengan penuh gilang-gemilang mencipta detik istimewa yang bakal dikenang. Lebih 100 sukarelawan Rakan PESKON26 bersama staf dan pegawai UPSI telah terlibat dan berganding bahu dalam menjayakan acara tersebut. 

Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman di Dataran Cemerlang Bersama, KSAS. Turut hadir bersama ialah Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, bersama barisan pengurusan universiti. Penghargaan khas turut diberikan kepada barisan penaja yang banyak menyumbang kepada kejayaan acara.

Malam pesta konvokesyen yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang ini menjadi lebih istimewa apabila diserikan dengan persembahan eksklusif daripada lagenda seni muzik Malaysia, Dato’ (Dr.) M. Nasir. Dikenali sebagai ikon muzik nusantara, kehadiran beliau menjadi kemuncak acara, menghiburkan pengunjung yang hadir. Dato’ (Dr.) M. Nasir telah membuka tirai persembahannya dengan lagu Gerhana, Mustika dan Apokalips yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada pengunjung. Dengan alunan suara emasnya dan gubahan muzik yang indah, beliau membawa hadirin menyusuri seni beliau yang telah bertahan lebih daripada empat dekad.

Majlis diserikan lagi dengan adanya persembahan daripada Band Pusat Kebudayaan UPSI, gimik perasmian Baju ‘Jacket Varsity‘ UPSI dan Baju PESKON26 dan kemudiannya disusuli dengan pertunjukan bunga api yang memukau.

Sebelumnya, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-26 UPSI sidang pertama. Anugerah tersebut disampaikan Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim.