Oleh: Dr. Nurhanie Mahjom dan Noraini Aminuddin

Tanjong Malim, 17 November 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai institusi yang berfokus kepada penyelidikan dan inovasi, sentiasa komited untuk menjadi pemacu pelbagai inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya melalui pemindahan ilmu dalam sektor-sektor penting seperti pertanian.

Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UPSI telah menerajui Projek Pemindahan Ilmu Perak Sejahtera 2024 yang berkonsepkan Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Melalui Strategi “DIY Grow’ yang diadakan di Pejabat Rasmi Orang Besar Jajahan Muallim pada 17 November yang lalu dirasmikan oleh Orang Besar Jajahan Muallim, YDH Toh Paduka Setia, Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Hj. Ahmad.

Ucapan Perasmian oleh Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad

Beliau berkata, inisiatif seperti Program Hydroplant ini amat penting kerana ia memperkenalkan teknik penanaman inovatif seperti hidroponik, yang mampu mengurangkan pergantungan terhadap sumber makanan luar.

“Teknologi hidroponik ini bukan sahaja mesra alam dan menggunakan ruang yang minimum, tetapi juga sangat efektif dari segi kos.

“Langkah ini adalah selari dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 untuk meningkatkan jaminan sekuriti makanan serta memperkasakan ekonomi komuniti melalui pendekatan yang mampan” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengkomersilan dan Inovasi, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Profesor Dr. Ahmad Jazimin Jusoh memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini.

Ucapan Aluan oleh Prof. Dr. Ahmad Jazimin Jusoh

“Program sebegini sangat bernilai kerana peranan universiti yang aktif dalam masyarakat bukan sahaja membuka ruang kepada idea-idea inovatif, malah berupaya memperbaiki gaya hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan komuniti sekitar”, ulas beliau.

Pengurusan perbelanjaan dan tabungan melalui kaedah penanaman hidroponik menjadi menjadi sebuah tarikan untuk dijadikan sebagai perspektif utama kepada Program ini, diterajui oleh Pensyarah FPE, Dr. Nurhanie Mahjom yang berperanan sebagai Ketua Perunding dan Penyelidik KTP Perak Sejahtera 2024.

Bagi menerapkan kemahiran dalam ilmu tanaman hidroponik secara terperinci yang dapat memberikan jaminan pengurusan perbelanjaan secara efisien, para perunding dan pakar tanaman hidroponik dijemput bagi berkongsi maklumat secara menyeluruh dan memberi penjelasan terperinci berkaitan pengurusan penanaman hidroponik ini.

Beberapa aktiviti interaktif bersama komuniti setempat telah dilaksanakan bagi mencapai persekitaran yang kondusif dan bersifat santai serta menarik sekaligus mengubah persepsi dan mengalaman ke arah gaya hidup sihat dan bijak dalam merancang pengurusan kehidupan masa hadapan.

Ilmu dan kemahiran yang dikongsikan di dalam program ini juga telah menjadi pemangkin kepada setiap ahli komuniti yang hadir untuk terus terlibat dengan penanaman hidroponik yang dapat mengurangkan tekanan kos kehidupan yang di hadapi hari ini.

Turut hadir menjayakan Program iaitu Ahli Lembaga Pengarah UPSI (Wakil Komuniti), Encik Mohd Zaidi Aziz, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pelbagai Kaum Perak, Pn. Shahhaiza Md Khir, Pengarah Urusan Kekebun Venture System, Encik Muhammad Kamil Mohamad Faizal.