OLEH : NURSYAZWANI NADHIRAH
TANJONG MALIM, 27 Disember 2024 – Sambutan Krismas dalam konteks institusi pendidikan tinggi seperti universiti bukan sekadar perayaan keagamaan tetapi merupakan sebuah platform untuk memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan mahasiswa tempatan dan antarabangsa.
Program Global Buddies Christmas Night Celebration 2024 anjuran UPSI Global Buddies dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa telah melakar sebuah detik bermakna dalam kalangan komuniti pelajar antarabangsa dan tempatan di UPSI.

Program ini telah berlangsung pada 27 Disember 2024 bertempat di Student Lounge, Kolej Antarabangsa, Kampus Sultan Azlan Shah melibatkan 36 penyertaan yang terdiri daripada pelajar antarabangsa dan tempatan di UPSI.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah dilaksanakan bagi mewujudkan sebuah sambutan yang menyeronokkan kepada pelajar sepanjang program berlangsung.
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengerusi majlis diikuti dengan penerangan ringkas oleh ahli jawatankuasa tentang peraturan bagi beberapa permainan yang akan dimainkan oleh pelajar dalam program.


Program diteruskan lagi dengan slot ‘Song Refresher : Kick-Start’ iaitu nyanyian lagu-lagu tentang perayaan Krismas oleh pelajar bagi memeriahkan suasana.
Seterusnya, program diceriakan lagi dengan permainan yang dimainkan oleh peserta termasuklah ‘The Chair Game : Hand vs Hand’ dan ‘Caroling Battle : The Spin-Off Sonata’.
Peserta turut menjamu selera dengan menikmati hidangan yang telah disediakan oleh pihak penganjur di ruang makan.
Selain itu, pihak penganjur turut memberikan anugerah ‘The Best Dressed Award’ kepada tiga orang peserta yang hadir memakai busana tercantik ke program tersebut.
Program ini kemudiannya diteruskan lagi dengan slot ‘TikTok Challenge : The First Snow’ yang dikendalikan oleh ahli jawatankuasa program.
Akhir sekali, program diakhiri dengan ucapan daripada pihak penganjur termasuklah ucapan wakil daripada UPSI Global Buddies dan ucapan Yang Di-Pertua Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa, Muhammad Lukman Hafiz Hasim.

Saudara Lukman menyatakan rasa bangga terhadap komitmen yang diberikan oleh semua ahli jawatankuasa pelaksana dan juga sambutan hangat daripada kehadiran pelajar antarabangsa ke program ini.
“Perbezaan budaya dan latar belakang bukan penghalang untuk kita semua berkumpul dalam majlis sambutan pada malam ini.
“Kami berharap agar hadirin berpuas hati dan seronok dengan slot yang telah dirancang oleh penganjur.”
Pengetua Kolej Antarabangsa, En. Zamrus Hashim juga memberi sokongan beliau kepada penganjuran program ini.

Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi untuk merapatkan hubungan sesama mahasiswa UPSI tanpa mengira perbezaan budaya dan latar belakang masing-masing.
“Besar harapan saya agar lebih banyak penganjuran program yang melibatkan penyertaan pelajar antarabangsa dapat terus dilaksanakan supaya mereka tidak terasing daripada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di kolej dan kampus.
“Pihak pentadbiran akan terus memberikan sokongan kepada program dan inisiatif pelaksanaan yang dikemukakan oleh MMK.”, kata beliau.

Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan matlamat pelaksanaan program ini.
Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa turut berterima kasih kepada UPSI Global Buddies kerana sudi memilih mereka sebagai rakan kerjasama dalam penganjuran program tersebut.
