Oleh: Zainun Mustafa, Azi Azeyanty Jamaludin, Nurul Bahiyah Abd Wahid dan Tiana Mohamad

Tanjong Malim, 12 Disember 2024 – Peranan guru bukan sekadar sebagai penyampai ilmu di bilik darjah. Sejarah telah membuktikan bahawa guru adalah pemangkin perubahan, inovator, dan pemimpin masyarakat yang berupaya membentuk generasi masa hadapan ke arah kehidupan yang lebih mampan dan bermakna.

Walaupun guru-guru menghadapi cabaran dalam bilik darjah dalam konteks masing-masing, ramai yang tidak sedar bahawa cabaran mereka sebenarnya sama.

Usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh seorang guru juga boleh dimanfaatkan dalam bilik darjah guru-guru lain, jika idea tersebut dikongsikan antara satu sama lain.

En Jhan dari Filipina yang mengaitkan pedagogi kreatif dalam pendidikan matematik

Maka timbul persoalan penting: Bagaimana jika setiap guru, seawal semasa dalam latihan menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada gerakan pendidikan global yang berperanan penting dalam menangani cabaran sejagat?

Untuk merealisasikan visi ini, institusi latihan keguruan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membina kesedaran dan keterlibatan global dalam kalangan bakal guru.

Selaras dengan aspirasi ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui badan pelajar seperti Rakan Alam Sekitar dan Center of Biodiversity and Conservation yang dinaungi Fakulti Sains dan Matematik telah melaksanakan langkah proaktif melalui kerjasama dengan organisasi badan antara kerajaan seperti SEAMEO RECSAM dan rakan organisasi swasta seperti The Habitat Foundation (THF) dalam menjalankan program kolaborasi maya.

En. Kim dari Kemboja menerangkan tentang implementasi teknik kreatif semasa lawatan sambil belajar

Sebagai contoh, pasa 12 Disember 2024, UPSI telah menyediakan sesi perkongsian ilmu antara guru dari Cambodia, Filipina, dan Jepun bersama pelajar latihan keguruan telah membuktikan bagaimana fotografi digital boleh menjadi alat pengajaran yang berkesan dalam sains dan matematik.

Program ini berteraskan konsep Hak dan Keadilan Alam Sekitar serta Pendidikan untuk Pembangunan Lestari yang bertujuan membekalkan bakal guru dengan pengetahuan dan kefahaman mendalam tentang tanggungjawab sosial, pemeliharaan alam sekitar dalam konteks tempatan, dan nilai kewarganegaraan global.

Dr. Hiroko dari Universiti Okayama Jepun mengaitkan usaha guru-guru dengan usaha global di Jepun

Melalui inisiatif ini, diharapkan perspektif bakal guru terhadap peranan mereka mula berubah agar mereka tidak lagi melihat tugas mendidik sebagai penyampaian kandungan kurikulum semata-mata, tetapi menyedari bahawa pendidikan adalah sebuah agen perubahan.

Interaksi dan perkongsian pengalaman dengan guru dari negara lain turut memperkayakan pemikiran mereka dan memberi inspirasi untuk menerapkan inovasi yang lebih holistik dan lestari di bilik darjah masing-masing.

Semangat tinggi oleh Rakan Alam Sekitar semasa menghoskan sesi webinar antarabangsa

Lebih penting lagi, program ini membuktikan bahawa usaha seorang guru bukanlah usaha yang terasing. Setiap bilik darjah adalah titik permulaan kepada perubahan positif dalam masyarakat dan alam sekitar.

Guru adalah agen perubahan yang berpotensi mencetuskan impak besar, bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi juga di skala antarabangsa.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menekankan pendidikan sebagai teras utamanya, wadah perkongsian ini adalah penting bagi meraikan usaha-usaha guru dalam konteks bilik darjah agar dapat menginspirasi generasi guru masa hadapan.

Sebagai renungan, satu persoalan wajar kita fikirkan bersama:

Tidakkah sudah tiba masanya untuk melihat setiap guru yang sedang berkhidmat sebagai inspirasi perubahan generasi guru akan datang?