MARANG, 20 Januari – Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia, yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pelaksana program ini. Majlis peluncuran dan penyerahan tablet pendidikan peringkat negeri Terengganu berlangsung di Auditorium Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Timur, menandakan permulaan rasmi pelaksanaan program ini di negeri tersebut.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Haji Jelani bin Sulong, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; YBrs. Dr. Fadzillah binti Amzah, Perunding Program Anak Kita merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia; wakil CelcomDigi Berhad; serta sekolah-sekolah yang menyertai program ini.

Sesi penyerahan Sijil Watikah Pelantikan Program kepada Pengetua Sekolah, Guru Penyelaras bersama-sama wakil peserta program

Dalam ucapan penghargaan, USM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, CelcomDigi Berhad, serta sekolah-sekolah yang terlibat atas kesudian menyambut program ini serta membantu USM dalam menjayakan pelaksanaannya.

Memperkukuh Pendidikan & Menangani Isu Keciciran

Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) dirangka sebagai intervensi sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan, menangani isu keciciran, meningkatkan pencapaian akademik, serta memperkukuh kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebagai sebahagian daripada program nasional Program Anak Kita, yang melibatkan 83,752 pelajar dari 3,458 sekolah di seluruh negara, USM telah diberi mandat untuk melaksanakan Tuisyen SPM 2025 yang merangkumi 10 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, melibatkan 10,000 pelajar dari 410 sekolah.

Untuk rekod Program Anak Kita: SPM 2025 dilaksanakan di seluruh negara dengan USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi mandat menjadi pelaksana bagi program tersebut.

Di negeri Terengganu sahaja, program ini akan memberi manfaat kepada 1,305 pelajar dari 35 sekolah, dengan pelaksanaan selama 18 bulan bermula Mac 2025 hingga Ogos 2026.

Majlis Peluncuran Program Anak Kita: Tuisyen SPM 2025 (USM) dan Penyerahan Tablet Pendidikan Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Auditorium Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Timur, Terengganu

Tablet Pendidikan & Akses Internet Percuma

Bagi memastikan pelajar mendapat sokongan pembelajaran yang berterusan, setiap pelajar yang menyertai program ini diberikan tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta akses kepada sumber pendidikan digital.

CelcomDigi Berhad memainkan peranan penting dalam menyediakan akses internet tanpa had, membolehkan pelajar mendapatkan bahan pembelajaran dan menyertai kelas dalam talian tanpa sebarang kekangan.

Sesi penyerahan Cek Cura daripada YBrs. Profesor Madya Dr. Fadzilah Bte Amzah, Perunding Program Anak Kita merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia kepada YBrs. Tuan Haji Wan Zuraidi Bin Che Wan Zaid, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu

Dalam ucapan perasmi, YBrs. Tuan Haji Jelani bin Sulong, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara bijak dan bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada semua pelajar supaya memanfaatkan tablet pendidikan yang diberikan ini untuk pembelajaran. Jangan sia-siakan peluang ini dan jangan salah guna kemudahan yang telah disediakan. Gunakan sebaiknya untuk mencapai kecemerlangan akademik dan membina masa depan yang lebih cerah.”

Pendekatan Holistik & Pembangunan Pelajar

USM sebagai pelaksana program komited dalam memperkasakan pelajar melalui pendekatan holistik dan intervensi berstruktur.

Program ini bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik, tetapi juga pembangunan diri dan persediaan pelajar menghadapi kehidupan selepas sekolah.

Menurut YBrs. Dr. Fadzillah binti Amzah, Perunding Program Anak Kita merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia:

“Program ini bukan sekadar membantu pelajar mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM, tetapi juga membentuk keyakinan diri dan memberikan mereka kemahiran untuk menghadapi cabaran selepas tamat sekolah.”

Kerjasama Komuniti dan Aspirasi Masa Depan

Program Anak Kita: SPM 2025 (USM) tidak hanya memberi impak kepada pelajar, tetapi juga mengukuhkan penglibatan komuniti melalui kerjasama antara sekolah, ibu bapa, dan masyarakat setempat.

Ucapan perasmian daripada YBrs. Tuan Haji Wan Zuraidi Bin Che Wan Zaid, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu

Kesimpulannya, program ini membuka ruang kepada pelajar daripada latar belakang mencabar untuk memperoleh pendidikan yang inklusif dan berkualiti.

Semua pihak berharap inisiatif ini akan membantu mencorak masa depan pelajar dengan lebih cerah, sekaligus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia.